Olimpik Paris 2024: Nur Aisyah tidak tamatkan perlumbaan
PENAMPILAN pertama pelumba berbasikal lebuh raya wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak berjaya membuahkan hasil apabila menjadi antara 14 pelumba yang direkodkan sebagai tidak menamatkan perlumbaan pada Ahad.
Bagaimanapun laman sesawang olympics.com/en/paris-2024 tidak menyatakan dengan lebih lanjut.
Perlumbaan sejauh 158.0 kilometer (km) di Trocadero itu menyaksikan pelumba Amerika Syarikat, Kristen Faulkner membawa pulang pingat emas dengan catatan 3:59:23s, manakala Marianne Vos (Belanda) dan Lotte Kopecky (Belgium), masing-masing merangkul perak (4:00.21s) dan gangsa (4:00:21s).
Nur Aisyah mencipta sejarah muncul pelumba berbasikal lebuh raya wanita Malaysia pertama beraksi di pentas Olimpik selepas Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menghadiahkannya slot ke Paris 2024.
Nur Aisyah sebelum ini dihantar ke Belgium untuk mengambil bahagian dalam hampir 20 kejohanan sebagai aksi pemanas badan sebelum terlibat dengan kemalangan ketika menyertai pertandingan di sana pada 16 Jun lepas.
Beliau mengalami kecederaan ringan di bahu dan tekak susulan kemalangan itu selain basikal gantian yang digunakan Nur Aisyah ketika menyertai pertandingan tersebut patah di beberapa bahagian.
Olimpik Paris: Kekejangan kaki punca Nur Aisyah tidak tamat perlumbaan
Dalam pada itu, Nur Aisyah memaklumkan terpaksa menarik diri dalam acara berbasikal jalan raya wanita Sukan Olimpik Paris 2024, susulan mengalami kekejangan pada kedua-dua belah kakinya, pada Ahad.
Nur Aisyah berkata, terdahulu beliau cuba mengelak daripada kemalangan pada kira-kira 90 kilometer (km) sebelum ketinggalan di belakang peloton dengan cubaan berjuang kembali menyertai kumpulan itu tersekat susulan kekejangan dialami.
Berikutan keadaan itu, Nur Aisyah diklasifikasikan sebagai Did Not Finish (DNF) oleh laman sesawang olympics.com/en/paris-2024 bersama-sama 13 pelumba lain.
"Pada kira-kira 90 km, berlaku kemalangan berhampiran dengan saya dan saya terpaksa membrek untuk mengelaknya, yang menyebabkan saya kehilangan rentak.
"Ia berlaku sebelum pendakian paling curam dalam perlumbaan dan terdapat banyak serangan pada masa itu. Saya mencuba sebaik mungkin mengejar semula kumpulan tersebut. Namun, saya mengalami kekejangan, mula-mula kaki kiri dan kemudian kaki kanan," katanya kepada pemberita.
Perlumbaan yang bermula dan berakhir di jambatan Pont d'Iena di Trocadero itu menampilkan laluan berbatu, pendakian setinggi kira-kira 1,700 meter (m) serta bahagian sempit dan teknikal yang mencabar menuju ke garisan penamat.
Perlumbaan sejauh 158km itu menyaksikan pelumba Amerika Syarikat Kristen Faulkner membawa pulang pingat emas dengan catatan 3:59:23 saat (s), manakala Marianne Vos (Belanda) dan Lotte Kopecky (Belgium), masing-masing merangkul perak (4:00.21s) dan gangsa (4:00:21s).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!