Kontinjen Malaysia buka akaun pingat di Paris 20244

Beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menunjukkan pingat gangsa pada majlis penyampaian pingat dalam acara badminton pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Arena Porte De La Chapelle pada Ahad. Foto Bernama
Beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menunjukkan pingat gangsa pada majlis penyampaian pingat dalam acara badminton pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Arena Porte De La Chapelle pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

SETELAH lebih seminggu menanti, kontinjen Malaysia akhirnya membuka akaun pingat di Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pada Ahad.

Hari kesembilan temasya menyaksikan Aaron-Wooi Yik mempamerkan kebangkitan penuh dramatik pada aksi penentuan pingat gangsa untuk menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark.

Juara dunia 2022 yang ketinggalan 16-20 pada set kedua, menunjukkan kebangkitan luar biasa apabila berjaya mengejar empat mata untuk mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum mencatat kemenangan 16-21, 22-20, 21-19 di Porte de La Chapelle Arena, sekali gus mempertahankan gangsa dimenangi mereka di Tokyo 2020.

Malaysia mempunyai peluang menambahkan kilauan pingat esok (5 Ogos), apabila Lee Zii Jia turun beraksi dalam penentuan gangsa perseorangan lelaki menentang Lakshya Sen dari India.

Terdahulu, Zii Jia yang hadir dengan harapan untuk merangkul emas terpaksa melupakannya selepas kekalahan 14-21, 15-21 kepada juara dunia 2023, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand.

Namun, Zii Jia perlu berada pada tahap terbaik apabila berdepan cabaran Lakshya, yang mendahului juara bertahan Viktor Axelsen sebanyak dua kali sebelum tewas 20-22, 14-21 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Di Le Golf National, pemain negara Gavin Kyle Green menamatkan saingan di kedudukan ke-33 dengan pukulan keseluruhan tiga bawah par 281 bersama Fabrizio Zanotti dari Paraguay selepas empat pusingan.

Pada pusingan terakhir hari ini, beliau melakukan dua bawah par 69 untuk melonjak lima kedudukan berbanding semalam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penampilan sulung atlet berbasikal lebuh raya wanita negara Nur Aisyah Mohamad Zubir di Olimpik, berakhir dengan kesedihan apabila beliau tidak menamatkan perlumbaan bersama 13 pelumba lain.

Nur Aisyah, yang menjadi pelumba wanita pertama Malaysia untuk beraksi dalam acara lebuh raya di Olimpik dilaporkan mengalami kekejangan di kedua-dua kakinya.

Di Marseille Marina, atlet pelayaran, Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohamad Latif masing-masing menduduki tempat ke-32 (168 mata penalti) dan ke-34 (182 mata penalti) dalam acara single-handed dinghy lelaki ILCA 7 dan wanita ILCA 6 selepas lapan perlumbaan setakat Ahad.

Kedua-dua pelayar tersebut akan meneruskan cabaran mereka dalam perlumbaan kesembilan dan kesepuluh esok, dengan hanya 10 teratas akan mara ke pusingan pingat pada Selasa.

Penampilan terbaik Gavin di Olimpik Paris 2024

Gavin berkongsi kedudukan dengan Fabrizio Zanotti dari Paraguay, apabila masing-masing mengumpul keseluruhan tiga bawah par 281. - Foto fail/Bernama
Gavin berkongsi kedudukan dengan Fabrizio Zanotti dari Paraguay, apabila masing-masing mengumpul keseluruhan tiga bawah par 281. - Foto fail/Bernama

Dalam pada itu, penampilan pemain golf profesional negara, Gavin Green di Sukan Olimpik Paris 2024 menunjukkan peningkatan selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-33 daripada 58 pemain dalam acara individu lelaki pada Ahad.

Pada edisi 2016 di Rio dan Tokyo 2020, Gavin menamatkan saingan masing-masing di kedudukan ke-47 dan 57.

Pada saingan yang berlangsung di Le Golf National, pemain berusia 30 tahun itu berkongsi kedudukan dengan Fabrizio Zanotti dari Paraguay, apabila masing-masing mengumpul keseluruhan tiga bawah par 281, dengan Gavin terlebih dahulu menyempurnakan dua bawah par 69 pada pusingan keempat hari ini.

Pusingan berkenaan menyaksikan beliau melakukan bogey di lubang kedua, keempat dan ke-17 serta melakukan birdie di lubang ketiga, ketujuh, kesembilan, ke-10 dan ke-11.

"Prestasi ada sedikit naik dan ada turun, permulaan perlahan tapi ia satu pemulihan yang baik dan menamatkan saingan di bawah par di sini, saya terima. Ada beberapa perkara yang saya tidak gembira, dan perlu diusahakan lagi tapi ia pencapaian yang agak baik di Olimpik,” katanya kepada pemberita.

Scottie Scheffler dari Amerika Syarikat memperoleh pingat emas selepas mengumpul keseluruhan 19 bawah par 265 manakala atlet Great Britain, Tommy Fleetwood meraih perak dengan 18 bawah par 266.

Pingat gangsa pula dimenangi Hideki Matsuyama dari Jepun yang merekodkan 17 bawah par 267. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!