PRK Nenggiri: Bukan Pas minta tapi Bersatu cari calon
GUA MUSANG - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengakui bukan Pas meminta, namun pihaknya yang mencari calon dan menemui Mohd Rizwadi Ismail untuk mewakili mereka bagi bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos ini.
"Selepas membuat pencarian, Bersatu melihat Mohd Rizwadi adalah individu yang sesuai untuk mewakili parti itu atas nama Perikatan Nasional (PN) dengan menggunakan logo Pas.
"Sebagai Ahli Majlis Tertinggi (Bersatu), saya menegaskan kami (Bersatu) yang cari calon pada masa itu.
"Bagi saya isu tersebut sama sekali tidak timbul kerana Bersatu yang bertindak mencari calon untuk mewakili parti," katanya semasa berceramah di Unit Daerah Mengundi (UDM) Meranto di sini pada Ahad malam.
Menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, hal ini kerana undi Bersatu bererti menyokong perjuangan Pas begitulah sebaliknya.
Ujarnya, namun disebabkan oleh kerusi Nenggiri dahulunya ditandingi oleh Bersatu, maka PRK kali ini parti itu perlu bertanding sekali lagi.
Saifuddin memberitahu, pemilihan Mohd Rizwadi dibuat selepas mengambil kira jumlah pengundi majoriti di Nenggiri adalah orang muda.
Tambah beliau, pengundi muda yang berumur 49 tahun ke bawah ialah 76 peratus manakala 40 tahun pula 66 peratus.
"Sebab itulah kami mencari calon dalam kalangan orang yang muda bersesuaian dengan majoriti pengundi.
"Bukannya kami tidak sayang kepada orang yang dah lama tapi menghormati majoriti.
"Menghormati majoriti ini sangat penting sebab ia amalan demokrasi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!