Kontrak Mohd Zuki berakhir Sabtu ini, diberi tugas penting

Mohd Zuki Ali
Mohd Zuki Ali
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kontrak Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) selama dua tahun yang akan berakhir pada Sabtu ini, tidak akan disambung.

Sebaliknya kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Zuki akan diberikan tugasan penting lain bagi membantu kerajaan, namun tidak memperincikannya.

"Saya bersyukur kerana sejak menjawat jawatan ini, saya didampingi tonggak perkhidmatan awam, Mohd Zuki yang kebetulannya ini perhimpunan terakhir beliau selaku KSN.

"Nak kata bersara tidak juga kerana beliau ada tugas penting lain daripada perkhidmatan awam," katanya menerusi ucapan di Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri, di sini pada Isnin.

Mohd Zuki dilantik sebagai KSN sejak 31 Disember 2019 dan bersara pada 10 Ogos 2022 sebelum kontraknya disambung semula selama dua tahun.

Dalam pada itu, Anwar memuji Mohd Zuki sebagai tokoh perkhidmatan awam yang penuh dengan taat setia berbakti kepada negara walaupun sebelum ini berkhidmat dengan bebera Perdana Menteri berbeza.

"Saya mengambil kesempatan untuk menyatakan penghargaan kepadanya. Beliau telah menjalankan khidmat dengan profesional.

"Pada hari pertama saya (sebagai Perdana Menteri), nasihat dan cadangan beliau itu konsisten yang terbaik untuk perkhidmatan awam serta negara termasuklah keputusan dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA)," ujar Anwar.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Mohd Zuki juga tidak pernah membantah meskipun dipanggil bertugas pada hujung minggu.

"Dalam kesibukan, saya panggil beliau kadang kala Sabtu malam atau Ahad saya telefon.

"Tetapi sosok tokoh penjawat awam ini tidak pernah mengeluh, letih atau memberi alasan sebaliknya mencari jawapan sebaik mungkin.

"Saya bukan bermaksud hendak beri pujian berlebihan, ini kenyataan.

"Apabila saya dengar masalah, terus telefon atau teks pada waktu malam, beliau akan memastikan jawapan diberikan secepat mungkin untuk membantu saya dan kerajaan dalam menjalankan tugas sebaiknya," ujar Anwar.

Mohd Zuki, 62, yang turut hadir pada perhimpunan itu dilihat beberapa kali tunduk hormat atas penghargaan yang diucapkan Anwar, selain mendapat tepukan gemuruh dari warga JPM.

Tambah Anwar, kecekapan dan profesionalisme penjawat awam jarang dilaporkan oleh media berbanding kelemahan.

"Saya dan kerajaan bernasib baik kerana selalu melihat teguran mengenai kelemahan, kelambatan dan ketirisan. Betul, kita tidak nafikan.

"Tetapi kurang diberi perhatian penjawat awam yang bukan hanya bertugas mengikut waktu tetapi mencurahkan seluruh bakti serta tenaga mereka untuk nusa dan bangsa," katanya.

Mohd Zuki yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura, pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Beliau juga pernah bertugas di Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Sementara itu, ketika ditemui media, Anwar memaklumkan pengganti Mohd Zuki akan diumumkan dalam masa terdekat selepas senarai calon dimuktamadkan.

"Tidak (calon KSN), akan diumumkan dalam masa yang sangat terdekat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!