Olimpik: Noah Lyles dinobat lelaki terpantas dunia

Lyles dinobatkan sebagai lelaki terpantas dunia apabila memenangi acara 100 meter (m) akhir di Sukan Olimpik Paris 2024.
Lyles dinobatkan sebagai lelaki terpantas dunia apabila memenangi acara 100 meter (m) akhir di Sukan Olimpik Paris 2024.
A
A
A

PELARI pecut Amerika Syarikat (AS), Noah Lyles dinobatkan sebagai lelaki terpantas dunia apabila memenangi acara 100 meter (m) akhir di Sukan Olimpik Paris 2024.

Perlumbaan di Stade de France itu, menyaksikan Lyles memenangi pingat emas dengan catatan masa 9.784 saat (s), menewaskan pelari Jamaica, Kishane Thompson dengan margin paling tipis.

Thompson meraih pingat perak selepas melakar catatan masa 9.789s manakala seorang lagi pelari AS, Fred Kerly pula memenangi gangsa dengan catatan masa 9.810s.

Akane Simbine dari Afrika Selatan, yang terlepas podium di Rio 2016 dan Tokyo 2020, sekali lagi menduduki tempat keempat di Paris 2024, manakala pemenang emas edisi Tokyo 2020 Jacobs Lamont Marcell dari Itali pula mengakhiri cabaran di tempat kelima.

"Inilah yang saya mahukan, satu perlumbaan sukar, dengan lawan yang menakjubkan.

"Semua pelari yang datang dalam mood bersedia untuk pertarungan dan saya mahu membuktikan bahawa saya adalah lelaki dalam kalangan mereka semua," kata Lyles.

Olimpik Paris: Lyles tamat penantian 20 tahun AS raih emas acara reben biru

Sementara ituBernama melaporkan Lyles menamatkan penantian 20 tahun Amerika Syarikat untuk meraih pingat emas acara 100 meter (m) lelaki selepas mengungguli acara itu dengan melakar catatan peribadi terbaik.

Artikel Berkaitan:

Lyles berpeluang membawa pulang dua lagi pingat emas apabila turun beraksi dalam acara 200m dan 4x100m. - Foto Reuters
Lyles berpeluang membawa pulang dua lagi pingat emas apabila turun beraksi dalam acara 200m dan 4x100m. - Foto Reuters

Atlet berusia 27 tahun itu mengatasi pelari Jamaica, Kishane Thomson dengan kelebihan 0.005s berdasarkan foto penamat manakala seorang lagi wakil Amerika Syarikat, Fred Kerley meraih gangsa dengan 9.81s.

Juara edisi Tokyo 2020 Marcell Jacobs dari Itali sekadar kelima dengan 9.85s.

"Umpama roller-coaster, ada naik dan turun. Saya masih ingat ketika di Tokyo, saya telah melakukan kesilapan. Dari hari itu, saya tekad untuk tidak melakukannya lagi. Saya akan tangani dengan sebaik mungkin dan berlatih bertahun-tahun.

"Ia terkumpul sehingga saat ini. Hanya perlukan satu sahaja. Asalkan itu yang terakhir, itu yang penting," katanya yang meraih pingat gangsa acara 200m di Tokyo.

Lyles berpeluang membawa pulang dua lagi pingat emas apabila turun beraksi dalam acara 200m dan 4x100m.

Kali terakhir pelari Amerika Syarikat membawa pulang pingat emas acara reben biru adalah menerusi Justin Gatlin pada edisi Athens 2004.

Sejak itu pelari Amerika Syarikat sukar meraih emas walaupun kekal dalam saingan penamat podium selepas pelari legenda Usain Bolt dari Jamaica mendominasi acara 100m dalam tiga edisi iaitu Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Rekod dunia dan Olimpik masih kekal milik Bolt dengan masing-masing 9.58s (Ogos 2009 di Berlin) dan 9.63 (Ogos 2012 di London).

Semalam, jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang membuat penampilan sulungnya di pentas Olimpik menamatkan saingan di tempat kesembilan pada pusingan pertama 100m dengan catatan 10.45s dalam saringan kedua, jauh daripada rekod kebangsaan miliknya 10.09s.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!