Dealova, Oh Hominodun dari Once dan Elica bakal gegar pentas KDCA

Elica (tengah) dan Fazura (kiri) dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu.
Elica (tengah) dan Fazura (kiri) dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu.
A
A
A

DEALOVA dan Oh Hominodun antara lagu yang bakal mengegarkan pentas di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang, pada malam sambutan kemerdekaan, 31 Ogos ini.

Bukan hanya lagu, tetapi pemilik suara kedua-dua lagu iaitu Once Mekel yang juga bekas vokalis Dewa 19 dan Elica Paujin antara lima artis yang akan menghiburkan penonton dalam konsert sempena Festival Kinabalu Muzik, Seni dan Kulinari 2014 yang berlangsung selama tiga hari itu nanti.

Menurut Elica, dia akan menyanyikan beberapa lagu termasuk lagu terbaharunya yang kini disenaraikan dalam carta Muzik-Muzik ke-39.

"Yang pastinya bukan satu, bukan dua lagu jadi kalau mahu tahu, datanglah konsert dan yang pastinya juga memang lagu saya sendiri, yang mana Oh Hominodun akan turut dipersembahkan.

"Untuk perancangan berduet, kita masih dalam peringkat perbincangan jika ada dengan mana-mana artis yang bersama membuat persembahan nanti tetapi untuk sekarang saya masih merahsiakan perkara ini bagi menarik lebih ramai datang ke konsert tersebut.

"Mungkin ada kejutan pada persembahan nanti," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Elica yang juga bekas juara Big Stage 2022 berkata, beliau bertuah kerana diberi peluang untuk bergandingan dengan artis Indonesia dan kumpulan band ternama di negara ini.

"Saya harap dengan peluang ini dapat mempromosikan lagi budaya Sabah dan seterusnya menarik lebih ramai untuk datang ke festival itu nanti.

Artikel Berkaitan:

"Jadi bagi memastikan konsert berjalan lancar, saya telah melakukan persiapan untuk buat yang terbaik dalam konsert ini," katanya.

Sementara itu, sidang akhbar yang sepatutnya disertai Once Mekel secara dalam talian, terpaksa diwakili Pengarah Blacksky, Githa Garthika disebabkan keadaan kesihatan penyanyi itu yang kurang baik ketika ini.

Ghita berkata, untuk konsert itu nanti Once akan memberi kejutan istimewa khusus untuk warga Sabah.

"Once sendiri sudah tidak sabar untuk datang ke Sabah dan disebabkan sudah beberapa kali dia mengeluarkan lagu single, sudah tentu akan ada persembahan istimewa kemunculannya nanti.

"Biasanya dalam konsert, Once akan menyanyikan enam lagu tapi kali ini untuk Sabah saja akan ada lebih enam hingga 10 lagu yang akan dipersembahkan, malah beliau akan bermain alat muzik ketika menyanyikan salah satu lagu nanti.

"Yang pasti lagu hit Dealova dan single terbaharu Untuk Kita antara yang akan dinyanyikannya," katanya.

Ghita berkata, walaupun Once dalam kondisi yang kurang sihat namun untuk konsert yang bakal diadakan hujung bulan ini beliau akan mengurangkan jadualnya yang sedia padat.

"Kita juga akan mengadakan sesi raptai untuk persembahan di Sabah nanti," katanya.

Sebelum itu, penganjur festival, Fazura Azima Ag Sha berkata, penjualan tiket untuk konsert tersebut sudah melebihi 50 peratus namun tiket masih boleh didapati melalui pembelian secara dalam talian atau fizikal di pusat beli belah Imago.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!