PRK Nenggiri: Atasi masalah bekalan elektrik sering terputus

Zuriati (kanan) dan Rohaya (tengah) berharap agar wakil rakyat baharu DUN Nenggiri dapat menyelesaikan masalah bekalan elektrik kerap terputus yang menghimpit penduduk Kampung Bertam Baru.
Zuriati (kanan) dan Rohaya (tengah) berharap agar wakil rakyat baharu DUN Nenggiri dapat menyelesaikan masalah bekalan elektrik kerap terputus yang menghimpit penduduk Kampung Bertam Baru.
A
A
A

GUA MUSANG - Penduduk Kampung Bertam Baru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri berharap calon yang menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 17 Ogos ini dapat menyelesaikan masalah kampung itu yang sering terputus bekalan elektrik.

Peniaga, Zuriati Zainal Abidin berkata, masalah terputus bekalan elektrik berkenaan kerap terjadi pada waktu puncak iaitu semasa hujung minggu, cuti umum dan musim perayaan.

Zuriati
Zuriati

"Acap sangat elektrik terputus dan setiap kali terputus ia berlarutan selama berjam-jam.

"Keadaan ini menyukarkan penduduk melakukan aktiviti harian termasuk kepada peniaga-peniaga kecil untuk mencari rezeki," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Kampung Bertam Baru yang dianggarkan memiliki sekitar 500 penduduk terletak kira-kira 45 kilometer dari Bandar Gua Musang.

Zuriati, 49, menjelaskan, masalah 'black out' tersebut turut menjejaskan talian selular di kampung berkenaan.

"Memang setiap kali tiada elektrik, telefon bimbit akan tiada talian sebab pencawang telekomunikasi perlukan bekalan elektrik untuk berfungsi," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pembantu kedai makan, Rohaya Jaafar memberitahu, talian selular yang terjejas setiap kali ketiadaan bekalan elektrik sangat menyulitkan penduduk terutama jika berlaku kecemasan.

"Kami nak keluar pergi bandar agak jauh, kira-kira sejam perjalanan jadi memang penting untuk bekalan elektrik sentiasa ada supaya liputan selular tidak terganggu.

"Selain itu kami harapkan capaian internet di kawasan ini dinaik taraf sebab ia sangat perlahan lebih-lebih lagi ketika hujan," jelasnya.

Rohaya
Rohaya

Kata wanita berusia 38 tahun itu, masalah capaian internet perlahan berkenaan memberi kesan kepada anak-anak yang belajar menggunakan peranti pintar.

PRK Nenggiri akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan logo Pas.

Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang dipertaruhkan BN merupakan Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang manakala PN diwakili bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang yang kini menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Rizwadi Ismail.

PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian Bersatu apabila menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!