UK bergelut dengan rusuhan terburuk dalam 13 tahun

Pasukan polis United Kingdom mengawal keselamatan ketika sekumpulan penunjuk perasaan melakukan protes menentang pendatang haram di Liverpool, Britain. - Foto Reuters
Pasukan polis United Kingdom mengawal keselamatan ketika sekumpulan penunjuk perasaan melakukan protes menentang pendatang haram di Liverpool, Britain. - Foto Reuters
A
A
A

LONDON - Pihak berkuasa United Kingdom (UK) berhadapan tekanan yang semakin meningkat pada Ahad (4 Ogos) untuk menamatkan rusuhan terburuk England dalam tempoh 13 tahun selepas insiden pembunuhan kanak-kanak yang sekali gus mencetus kekacauan melibatkan perusuh sayap kanan di seluruh negara.

Pergolakan berkaitan maklumat yang salah mengenai insiden tikaman beramai-ramai yang membunuh tiga remaja perempuan minggu lalu merebak ke beberapa pekan dan bandar pada Sabtu lalu ketika penunjuk perasaan anti-imigresen bertempur dengan polis.

Pergesaran itu merupakan ujian besar kepada Perdana Menteri UK, Keir Starmer yang baru sebulan lalu terpilih menerajui negara selepas parti Buruh meraih kemenangan besar dalam pilihan raya umum negara itu.

Kira-kira 90 orang telah ditangkap selepas pertempuran meletus di perhimpunan paling kanan di banyak tempat termasuk Liverpool, Manchester, Bristol, Blackpool dan Hull serta Belfast di Ireland Utara.

Dalam beberapa situasi, perusuh membaling batu bata, botol dan suar ke arah polis sehingga mencederakan beberapa pegawai, merompak dan membakar kedai, manakala penunjuk perasaan menjerit cemuhan anti-Islam.

Keganasan itu adalah yang paling teruk dialami England sejak musim panas 2011, apabila rusuhan berleluasa berlaku berikutan pembunuhan polis terhadap seorang lelaki berdarah campuran di utara London.

"Kami telah mengalami rusuhan dan pergaduhan seperti ini, tetapi ia hanya berlaku di kawasan-kawasan tertentu di negara ini. Kini, kita dapat lihat rusuhan berlaku di beberapa bandar dan pekan utama," kata Tiffany Lynch dari Persekutuan Polis England dan Wales.

Dalam perkembangan sama, kerajaan UK berkata, polis mempunyai "semua sumber yang mereka perlukan" untuk menangani gangguan itu ketika pegawai memberi amaran lebih banyak demonstrasi pada Ahad, yang membawa kepada kebimbangan pergolakan boleh merebak lagi.

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa juga telah mengatur pegawai tambahan manakala Menteri Kehakiman Shabana Mahmood menegaskan "seluruh sistem keadilan bersedia untuk menjatuhkan hukuman secepat mungkin".

Menteri Kepolisan Kerajaan, Diana Johnson pula memberitahu BBC News, polis ‘tidak akan bertolak ansur’ dengan rusuhan dan berikrar aka nada ‘hukuman’ ke atas mereka yang mencetuskan rusuhan itu.

Pergolakan itu memasuki hari keempat pada Sabtu di beberapa bandar dan pekan berikutan serangan pisau kegilaan Isnin lalu di Southport, berhampiran Liverpool di pantai barat laut England.

Rusuhan itu didorong oleh khabar angin palsu di media sosial mengenai latar belakang suspek berusia 17 tahun kelahiran Britain, Axel Rudakubana yang didakwa atas tuduhan membunuh dan cubaan membunuh berhubung serangan di kelas tarian bertemakan Taylor Swift, minggu lalu.

Rudakubana dituduh membunuh Bebe King yang berusia enam tahun, Elsie Dot Stancombe (7) dan Alice Dasilva Aguiar (9) selain mencederakan 10 orang lagi.

Polis berkata, rusuhan berkaitan keganasan ke atas penyokong dan pertubuhan berkaitan Liga Pertahanan Inggeris iaitu sebuah pertubuhan anti-Islam yang ditubuhkan 15 tahun lalu yang penyokongnya telah dikaitkan dengan hooliganisme bola sepak.

Perusuh turut menyasarkan masjid di Southport dan di bandar Sunderland di timur laut Inggeris mendorong ratusan pusat Islam meningkatkan keselamatan berhubung kebimbangan terhadap keselamatan jemaahnya.

Pada pilihan raya bulan lalu, parti Buruh memperoleh 14 peratus undi - salah satu bahagian undi terbesar untuk parti British berhaluan kanan.

Starmer menuduh "samseng" "merampas" kesedihan negara untuk "menyemai kebencian" dan telah mengumumkan langkah baharu untuk membolehkan perkongsian perisikan, penggunaan teknologi pengecaman muka yang lebih meluas dan perintah tingkah laku jenayah untuk menyekat pengacau daripada melakukan perjalanan.

Menteri Kepolisan, Johnson pula berkata, kerajaan akan melakukan "apa sahaja yang diperlukan" untuk memastikan orang ramai dibawa ke muka pengadilan, termasuk kemungkinan mahkamah bersidang semalaman seperti yang mereka lakukan semasa rusuhan pada 2011.

PM UK kutuk keganasan kumpulan berhaluan kanan

Dalam pada itu, Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer pada Ahad mengutuk keganasan kumpulan-kumpulan berhaluan kanan di seluruh negara susulan insiden serangan pisau yang menyebabkan tiga kanak-kanak perempuan terbunuh di Southport.

"Saya jamin anda akan menyesal menyertai keganasan ini, sama ada secara langsung atau menyebarkannya dalam talian," kata Starmer menerusi ucapannya yang disiarkan di televisyen.

Serangan berlaku pada Isnin ketika kanak-kanak terbabit menyertai bengkel tarian bertemakan Taylor Swift di Southport.

Axel Rudakubana, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilahirkan di Cardiff dan ibu bapanya berasal dari Rwanda didakwa atas tuduhan membunuh.

Rusuhan itu didorong oleh maklumat palsu yang tersebar dalam talian mengenai kewarganegaraan dan agama remaja berkenaan, mencetuskan kebencian terhadap umat Islam dan penduduk imigran serta mengakibatkan pertempuran ganas antara penunjuk perasaan dan polis di seluruh UK.

Protes mencapai kemuncaknya pada hujung minggu, lapor Xinhua.

Ketua Majlis Ketua Polis Negara bagi ketenteraman awam, BJ Harrington berkata sebanyak 147 tangkapan dibuat berkaitan keganasan sejak malam Sabtu dan jumlah itu dijangka meningkat.

"Maklumat palsu adalah punca utama keganasan dan ramai yang menghadiri protes ini bertindak balas kepada apa yang mereka baca dalam talian," kata Harrington.

Rusuhan berlaku di bandar-bandar utama seperti London, Manchester, Liverpool, Bristol, Leeds, Nottingham, Sunderland dan Belfast.

Starmer berkata, serangan terhadap hotel di Rotherham yang dipercayai menempatkan pendatang tidak boleh diterima.

Beliau menyifatkan keganasan itu sebagai "keganasan berhaluan kanan" dan menggesa syarikat media utama memerangi maklumat salah.

Bekas Perdana Menteri UK, Rishi Sunak berkata, pergolakan di seluruh negara kini adalah tingkah laku jenayah yang tidak mempunyai tempat dalam masyarakat dan menyokong penuh tindakan polis.

Bekas First Minister Scotland, Humza Yousaf berkata, pihak polis tidak dapat mengawal keadaan dan menyeru campur tangan tentera.

"Berapa teruk lagi ia perlu berlaku sebelum tentera campur tangan, @Keir_Starmer?" katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!