Amanah Kluang desak diberi laluan tanding PRK DUN Mahkota

Mohd Zuhan (kanan) pada sidang akhbar di sebuah restoran di Taman Maju Johor Bahru pada Isnin.
Mohd Zuhan (kanan) pada sidang akhbar di sebuah restoran di Taman Maju Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Amanah Negara (Amanah) Kluang, mendesak pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memberikan laluan kepada calon parti itu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang akan diumumkan kelak.

Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, desakan itu timbul memandangkan kerusi DUN Mahkota pernah dimenangi Amanah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Mohd Zuhan (tengah) bersama jawatankuasa Amanah Kluang pada sidang akhbar mendesak Amanah diberikan laluan bertanding di PRK DUN Mahkota.
Mohd Zuhan (tengah) bersama jawatankuasa Amanah Kluang pada sidang akhbar mendesak Amanah diberikan laluan bertanding di PRK DUN Mahkota.

Menurut beliau, UMNO Bahagian Kluang juga menyatakan secara terbuka tidak mahu bekerjasama dengan salah satu komponen PH, baru- baru ini, telah mengguris hati penyokong PH.

"Jelas diketahui umum, Kerajaan Johor bukan Kerajaan Perpaduan sepertimana di peringkat Persekutuan dan beberapa negeri lain. Meskipun agak mesra namun PH di Johor tidak diberikan sebarang peranan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Oleh itu, Amanah Kluang menganggap UMNO yang menduduki kerusi pentadbiran kerajaan negeri tidak serius dalam menjalinkan 'perpaduan' di Johor," katanya pada sidang akhbar di sebuah restoran di Taman Maju dekat sini, pada Isnin.

Sementara itu, Mohd Zuhan yakin Amanah mampu memenangi kerusi DUN Mahkota sekiranya diberikan peluang untuk bertanding pada PRK berkenaan berdasarkan kepada analisis yang dibuat di peringkat kawasan Kluang.

"Amanah yang mewakili PH pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada PRU14 walaupun ketika itu dianggap mustahil oleh UMNO dan Pas sebagai pihak lawan.

Artikel Berkaitan:

"Merujuk kepada data PRU15, sokongan dan keyakinan rakyat di Kluang kepada PH sangat baik ketika ini. Dengan analisis yang dibuat di peringkat kawasan menunjukkan kami boleh menang dengan selesa," katanya

Pada PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi manakala calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi.

Pada PRU14 pula, calon Amanah yang menggunakan logo PKR, Muhammad Said Jonit menang kerusi DUN Mahkota dengan meraih 19,507 undi dan meraih majoriti 1,668.

Muhammad Said menewaskan calon BN, Datuk Jais Sarday yang meraih 17,839 undi dan calon Pas, Hasbullah Najib yang mendapat 3,092 undi.

Dalam pada itu, Mohd Zuhan berkata, Amanah Kluang juga sudah menyenarai pendek beberapa nama calon sesuai untuk diberikan kepada pucuk pimpinan Johor dan Pusat, untuk disemak dan diteliti.

Bagaimanapun, beliau akan akur dengan ketetapan dibuat pucuk pimpinan PH berhubung calon yang akan diturunkan pada PRK DUN Mahkota.

"Amanah Kluang akan mendengar suara akar umbi kami untuk tindakan selanjutnya.

"Namun kita tetap bersedia terhadap sebarang kemungkinan sekali pun, sama ada dua penjuru atau tiga penjuru pada PRK Mahkota nanti," katanya.

Pada Sabtu, BN akan menyiapkan jentera parti bagi menghadapi PRK DUN Mahkota, Johor sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pengundian.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka akan bersiap siaga selepas tarikh-tarikh penting PRK Mahkota diketahui.

SPR pada Ahad, dilaporkan menerima makluman mengenai kekosongan kerusi DUN Mahkota susulan kematian Sharifah Azizah Syed Zain daripada Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Sharifah Azizah, 63, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, pada Jumaat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!