Zahid mohon maaf tersasul

A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf kerana tersasul semasa berucap di Himpunan Pembebasan Palestin yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad.

Beliau berkata, keghairahan berpidato ketika itu untuk memberikan dukungan dan tanda solidariti bagi membebaskan Palestin.

“Hadirnya kita sebagai rasa cinta terhadap keamanan, kedamaian dan menolak sekeras-kerasnya penindasan serta kezaliman manusiawi.

“Dalam keghairahan dan rasa penuh semangat tadi, saya memohon maaf atas kekhilafan saya dalam berbicara.

“Namun hati yang tulus ikhlas ini tetap membara untuk melaungkan Bebas Palestin! Hidup Palestin! Merdeka Palestin! Allahu Akbar,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Menerusi hantaran berkenaan, beliau memperjelaskan kesilapan melaungkan ‘hidup Israel’ semasa berpidato di himpunan berkenaan.

Tujuan himpunan tersebut diadakan antara lain bagi menyampaikan mesej bahawa Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, As-Syahid Al Mujahid Ismail Haniyeh sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis terhadap bumi Palestin.

Mengulas lanjut, Presiden UMNO itu memaklumkan Himpunan Pembebasan Palestin itu juga bagi memperingati As-Syahid Al Mujahid Ismail Haniyeh yang dibunuh dengan kejam.

Artikel Berkaitan:

“Kami berkumpul bagi memperingati As-Syahid Al Mujahid Ismail Haniyeh yang telah dibunuh dengan kejam.

“Namun, walau seorang Ismail Haniyeh gugur ribuan mujahid lagi akan dilahirkan!,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!