Mohd Azizi dakwa tak pernah terima peruntukan kerajaan Kelantan
GUA MUSANG - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim mendakwa beliau tidak pernah menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri semasa menjadi wakil rakyat.
Mohd Azizi yang dilucutkan hak sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu berkata, Kerajaan Kelantan dicabar untuk mengemukakan bukti beliau menerima peruntukan sehingga menggelarkan dirinya tamak.
"Semasa berceramah mereka (pemimpin Pas) menggelar saya tamak, tidak bersyukur dan membuat pelbagai serangan peribadi.
"Mereka boleh kata macam-macam sedangkan saya dinafikan hak sebagai ADUN, satu sen pun saya tidak menerima peruntukan daripada mana-mana Exco sedangkan setahu saya setiap ADUN menerima peruntukan sehingga RM1.2 juta setahun," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Menurut beliau, pada masa sama beliau turut meminta Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menunjukkan bukti peruntukan Kerajaan Kelantan yang diterimanya.
Ujarnya, bukan itu sahaja set keperluan asas menerusi Skim al Itqan sebanyak 300 pek setiap bulan untuk diagihkan kepada penduduk miskin juga tidak diberikan kepada beliau sebaliknya diberikan kepada Penyelia DUN Nenggiri.
Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, setiap kali turun padang bertemu rakyat beliau menggunakan duit peribadinya sehinggalah menerima peruntukan daripada Kerajaan Perpaduan.
Beliau memberitahu, isu tidak menerima peruntukan sebagai ADUN sudah diajukan kepada pimpinan tertinggi negeri termasuk Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor.
"Namun jawapan yang saya dapat 'bersabarlah... kita perlu sedar diri kita hanya enam kerusi'. Itulah ulasan yang saya terima setiap kali perkara ini dibangkitkan.
"Apabila saya hilang kerusi dan berlaku PRK (Pilihan Raya Kecil), mereka menuduh saya tamak sedangkan tidak semua ADUN Kelantan menerima peruntukan. Bercakap memang mudah dan kalau betul saya terima peruntukan, tolong buktikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!