21,000 penjawat awam Selangor bakal terima kenaikan gaji
SHAH ALAM - Lebih 21,000 penjawat awam di Selangor bakal menerima manfaat kenaikan gaji selaras dengan pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Mei lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kadar gaji baharu bergantung kepada kenaikan ditetapkan kerajaan Persekutuan yang akan dimaklumkan pada 16 Ogos ini.
"Kita akan ikut, sebagaimana saya sebut dan kita lihat dulu kadar kenaikan yang ditetapkan oleh Persekutuan.
"Kita akan cuba 'adapt' dengan rizab kewangan yang kita ada, Insya-ALLAH dan pelaksanaan ini membabitkan lebih 21,000 penjawat awam di Selangor, " katanya.
Beliau berkata demikian ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz dekat sini pada Isnin.
Sebelum ini, sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak lebih 13 peratus bermula 1 Disember depan.
Pada 18 Julai, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz memaklumkan Anwar bakal mengumumkan kadar kenaikan berkenaan pada 16 Ogos ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!