Protes di UK makin membimbangkan - Tok Mat

Mohamad Hasan - Gambar fail
Mohamad Hasan - Gambar fail
A
A
A

SEREMBAN - Keadaan protes yang sedang berlaku di United Kingdom (UK) dilihat semakin membimbangkan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, demonstrasi yang berlaku telah bertukar kepada keganasan dengan menyasarkan orang bukan berkulit putih dan institusi Islam.

"Nampaknya ia dah bertukar corak kepada keganasan dan yang menjadi mangsa ialah orang yang bukan berkulit putih dan khususnya institusi Islam yang mana ia amat mendukacitakan," katanya ditemui pemberita selepas hadir pada Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan Yang ke-15 di sini pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat negara ini yang menetap atau berkunjung ke UK supaya mematuhi nasihat dikeluarkan oleh Wisma Putra termasuk berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.

Ujarnya, ia bagi membolehkan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia berhubung dengan mereka sekali gus memastikan mereka berada dalam keadaan baik.

"Saya nampak konflik yang berlaku ini seperti pola baharu kebangkitan puak kanan di seluruh negara terutamanya di negara Eropah, Amerika dan UK.

"Kita amat kesal kerana apa yang berlaku adanya unsur rasisme dan yang jadi mangsa adalah rakyat mereka sendiri. Jadi ini sesuatu yang mendukacitakan," katanya.

Beliau juga berharap situasi berlaku tidak merebak ke negara-negara lain dan yakin pihak berkuasa akan bertindak sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, apa yang membimbangkan adalah maklumat di media sosial yang kadang kala menyebarkan berita tidak benar berhubung perkara yang berlaku.

"Misalnya mereka beranggapan pembunuhan kanak-kanak di Southport itu dilakukan oleh pendatang dari Timur Tengah beragama Islam, tapi kesudahannya tak benar," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu belum ada keputusan untuk membawa pulang Batalion Malaysia 850-11 (MALBATT 850-11) bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan, susulan kebimbangan sekiranya konflik antara Palestin dan Israel semakin merebak.

"Setakat ini belum ada keputusan dan saya sentiasa berhubung dengan pihak Kedutaan Malaysia di sana dan rakan sejawat saya di Menteri Pertahanan.

"Saya baru berhubung dengan Pejabat Wisma Putra untuk lihat tindakan selanjutnya dan amaran perjalanan telah dikeluarkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!