Persembahan artis bukan Muslim perlu secara tertutup - Exco

Wan Sukairi
Wan Sukairi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu tidak pernah menghalang mana-mana pihak daripada pelbagai segmen sama ada kebudayaan, warisan dan agama untuk mengadakan persembahan namun ia perlu mengikut garis panduan ditetapkan.

Exco Kerajaan Tempatan Perumahan, dan Kesihatan Negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah menjelaskan persembahan hiburan oleh artis bukan Muslim terhadap penonton lelaki dan wanita bukan Muslim di negeri itu dibenarkan namun ia perlu diadakan di kawasan tertutup.

"Berdasarkan garis panduan hiburan negeri Terengganu, persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni yang melibatkan artis wanita hanya dibenarkan kepada penonton wanita sahaja.

"Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada persembahan artis lelaki dan artis wanita untuk penonton bukan Muslim.

"Memandangkan persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni yang dimohon oleh Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than membabitkan penonton lelaki dan wanita di khemah terbuka dalam kawasan yang terbuka di kawasan kuil tersebut maka orang yang lalu lalang dapat melihat persembahan tersebut.

"Jadi persembahan seperti ini tidak dianggap sebagai khusus untuk bukan Islam dan pemakaian garis panduan umum untuk melarang artis wanita adalah terpakai," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok meminta kerajaan negeri menjelaskan berhubung keputusan melarang penyanyi wanita membuat persembahan pada acara keagamaan yang dianjurkan sebuah tokong.

Ini susulan laporan berita yang mendakwa Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu telah mengarahkan Tokong Guan Di untuk menghentikan sebarang persembahan penyanyi wanita semasa majlis sambutan yang diadakan antara 29 Julai dan 2 Ogos.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata, pemakaian garis panduan tersebut adalah secara menyeluruh tanpa diskriminasi terhadap mana-mana pihak.

Menurutnya, ia adalah garis panduan umum bagi aktiviti hiburan bagi maksud Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 Negeri Terengganu.

"Kerajaan negeri tidak pernah menghalang mana-mana pihak daripada mana-mana pertubuhan yang mewakili pelbagai segmen sama ada kebudayaan, warisan dan agama untuk mengadakan program selagi mengikut garis panduan," jelas beliau.

Dalam pada itu, Wan Sukairi berkata, permohonan daripada Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than telah diterima oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada 20 Jun lepas.

"Berkenaan dengan isu yang tular, saya ingin terangkan bahawa permohonan daripada Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than telah diterima oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu pada 20 Jun lepas untuk memohon permit bagi upacara keagamaan dan persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni sempena ulang tahun kuil Kwan Tee Than pada 29 Julai hingga 2 Ogos lepas.

"Majlis telah meluluskan permohonan yang dikemukakan tertakluk kepada syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than termasuk bagi persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni perlu mengikuti Garis Panduan Hiburan Negeri Terengganu (Garis Panduan Tersebut)," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!