Wanita hilang RM117,375 sertai pelaburan tak wujud menerusi Telegram

Seorang bekas pekerja kilang rugi RM117,375 apabila wang dilaburkan lesap selepas menyertai skim pelaburan tidak wujud menerusi iklan di aplikasi Telegram, bulan lalu. Gambar hiasan
Seorang bekas pekerja kilang rugi RM117,375 apabila wang dilaburkan lesap selepas menyertai skim pelaburan tidak wujud menerusi iklan di aplikasi Telegram, bulan lalu. Gambar hiasan
A
A
A

TAIPING - Seorang bekas pekerja kilang rugi RM117,375 apabila wang dilaburkan lesap selepas menyertai skim pelaburan tidak wujud menerusi iklan di aplikasi Telegram, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, wanita berusia 57 tahun itu menyedari ditipu berikutan tidak mendapat sebarang keuntungan daripada pelaburannya.

"Pada 16 Julai lalu, mangsa tertarik dengan satu iklan pelaburan yang menawarkan keuntungan sebanyak RM75,000 dengan modal RM1,500 sahaja.

"Mangsa dijanjikan akan menperoleh keuntungan dalam tempoh antara tiga hingga enam jam selain modal dan keuntungan aman dimasukkan terus ke dalam akaun," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut beliau, mangsa kemudian melakukan pindahan wang ke sembilan akaun bank berbeza dalam tempoh tujuh hari melibatkan jumlah keseluruhan RM117,375.

"Selepas membuat bayaran, mangsa masih tidak mendapat pulangan serta keuntungan seperti yang dijanjikan.

"Mangsa juga tidak dapat mengeluarkan modal dari platform tersebut kerana disekat suspek menyebabkan dia membuat laporan polis pada Ahad," katanya.

Mohamad Nasir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!