Parti penyandang akan tandingi PRK - DAP Johor
JOHOR BAHRU - Parti penyandang kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan.
Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, partinya akan menghormati segala keputusan berhubung kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota selepas rundingan dibuat oleh pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
"DAP Johor berpegang kepada amalan lazim PH, bahawa penentuan dan pelantikan calon serta pembahagian kerusi ditentukan pucuk pimpinan parti komponen secara musyawarah tanpa perlu dibincangkan dalam media.
"Selain itu DAP Johor berpegang kepada prinsip 'incumbency' di mana kerusi yang dimenangi pada PRU (pilihan raya umum) dan PRN (pilihan raya negeri) sebelum ini akan ditandingi parti penyandang dalam pilihan raya kecil akan datang.
"Ini sama seperti ketika PRK Pulai dan Simpang Jeram, dan juga dalam PRK-PRK yang lain," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Ketua Amanah Kawasan Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain dalam satu sidang akhbar di sini, mendesak pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) supaya memilih calon parti itu bertanding dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Menurut Mohd Zuhan, ini kerana Amanah Kawasan Kluang yakin menang selepas membuat kajian dan analisis serta berdasarkan data terkini termasuk sokongan rakyat di kawasan itu.
Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menyatakan kekesalan dengan sikap Amanah dan menyifatkan desakan itu sebagai gelojoh serta tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris mantan ADUN Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang baru meninggal dunia.
Pada Ahad, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK bagi kerusi Dewan Undangan Negeri DUN Mahkota, Johor pada 13 Ogos ini, untuk membincangkan pelaksanaan PRK DUN berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!