Ringgit kukuh kerana faktor luaran, bukan sebab dasar kerajaan - Gerakan

Foto hiasan. Gambar kecil: Parameswaran
Foto hiasan. Gambar kecil: Parameswaran
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) menegaskan bahawa nilai ringgit kini kukuh bukan disebabkan hasil daripada dasar dan polisi Kerajaan Madani.

Naib Presidennya, Datuk G Parameswaran berkata, ringgit semakin kukuh kerana faktor luaran terutamanya penurunan mendadak dalam kadar pulangan bon Amerika Syarikat (AS).

"Tuntutan Kerajaan Madani bahawa kekuatan ringgit adalah hasil daripada dasar mereka adalah sangat mengelirukan.

"Pada tahun 2008, nilai AS$1 mencecah RM3.50. Pakatan (Pakatan Harapan) pada masa itu berteriak katakan negara akan bankrap tetapi hari ini melangkaui RM4.50. Anehnya Pakatan kini memekik ringgit terkuat di Asia pula,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nilai ringgit berada di landasan terbaik dalam tempoh 14 tahun kerana usaha bersama seluruh rakyat Malaysia.

Dalam ucapannya pada Himpunan Perdana Rakyat anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Anwar memberi penghargaan kepada dasar-dasar kerajaan dan hubungan diplomatik serta ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan negara lain.

Mengulas lanjut, Parameswaran memaklumkan kestabilan dan kekuatan sebenar ekonomi Malaysia perlu dinilai berdasarkan indikator ekonomi domestik seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar pengangguran dan kestabilan harga pengguna.

Menurutnya, penilaian itu bukan semata-mata pada fluktuasi nilai mata wang yang didorong oleh faktor luaran sahaja.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, antara punca nilai mata wang kukuh adalah disebabkan pergolakan besar berlaku di pasaran bon AS yang menyebabkan kadar pulangan bon itu menjunam.

“Situasi ini memberikan kesan limpahan yang menyebabkan aliran modal kembali ke pasaran baharu muncul termasuk Malaysia sekali gus memperkuat nilai ringgit.

“Justeru, Gerakan menyeru Kerajaan Madani bersikap lebih bertanggungjawab dalam menangani isu ekonomi negara dan tidak mengalihkan perhatian daripada keperluan reformasi asas dengan menyandarkan perkembangan kepada faktor luaran yang tidak berkekalan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!