Kunlavut harap Zii Jia menang gangsa
BIARPUN menjadi lawan di gelanggang, namun persahabatan dua jagoan dunia, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan juara dunia 2023 dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn tidak dapat dipisahkan.
Kunlavut yang menyingkirkan Zii Jia dalam aksi separuh akhir Sukan Olimpik 2024 di Paris malam Ahad mendoakan yang terbaik buat rakan baiknya itu.
Zii Jia akan turun ke gelanggang menentang Lakshya Sen di Porte de La Chapelle Arena pada jam 8.30 malam ini untuk penentuan tempat ketiga.
Kunlavut yang mesra disapa dengan panggilan View berharap agar Zii Jia dapat menewaskan pemain India itu bagi membawa pulang pingat gangsa buat Malaysia.
”Saya berharap Lee Zii Jia dapat memenangi pingat gangsa untuk Malaysia,” ujar pemain berusia 23 tahun itu.
Dalam aksi separuh akhir tersebut, Zii Jia terpaksa akur dengan persembahan cemerlang yang dipamerkan oleh View sebelum tewas 14-21, 15-21.
Kunlavut pula akan membuat perhitungan dengan pemenang pingat emas Olimpik edisi lalu, Viktor Axelsen dari Denmark dalam aksi final selepas tamat perlawanan penentuan tempat ketiga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!