Mahkamah tolak rayuan bekas penghantar makanan rogol kanak-kanak
PUTRAJAYA - Seorang bekas penghantar barang kekal dipenjara 18 tahun dan 10 sebatan selepas Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa minggu lalu, menolak rayuannya berhubung kesalahan merogol murid perempuan tahun enam, pada 2020 lalu.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian selepas sebulat suara mendapati, tiada justifikasi untuk Mahkamah Rayuan mengganggu perintah hukuman terhadap Muhamad Nur Hidayat Md Selliman, 31.
Menerusi keputusan penghakiman yang dimuat naik dalam sistem kehakiman dan diperoleh media pada Isnin, Hakim Datuk Azmi Ariffin berkata, sebelum ini Muhamad Nur Hidayat selaku perayu, memohon agar hukuman pemenjaraan dan sebatan dikurangkan.
Menerusi perspektif yang berbeza, beliau berkata, sudah terang lagi bersuluh, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila mengenakan hukuman itu terhadap perayu.
Menurutnya, semasa kejadian rogol itu berlaku, mangsa merupakan seorang murid tahun enam, sementara perayu berusia 27 tahun.
Katanya, perayu mengambil kesempatan ke atas budak perempuan sekecil ini untuk melampiaskan nafsu, tanpa sedikit pun merasa bersalah atau simpati.
“Pada hemat kami, perayu sebagai seorang yang dewasa dan matang pemikirannya, pasti dapat memikirkan, perbuatan liarnya itu akan berakhir dengan kemudaratan dan bencana pada diri sendiri.
“Lebih menyedihkan, ia telah mencemar kesucian, kehormatan dan maruah mangsa,” katanya yang turut bersidang bersama seorang lagi hakim, Datuk Azman Abdullah.
Susulan itu Ahmad Zaidi berkata, keinsafan yang dizahirkan oleh perayu kepada mahkamah, sudah tidak bernilai umpama peribahasa, ‘nasi sudah pun menjadi bubur’ dan ‘terlajak perahu boleh di undur, terlajak perbuatan buruk padahnya’.
Katanya, mahkamah juga mengambil maklum mengenai jenayah seksual terhadap kanak-kanak ini semakin membimbangkan dan kerap dilaporkan di media sosial sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, kesalahan serius yang dilakukan oleh perayu, perlu dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatan kejinya itu bagi melindungi golongan kanak-kanak daripada sering menjadi mangsa jenayah seksual.
Beliau berkata, hukuman yang ‘keras’ ini bukan sahaja berbentuk pencegahan kepada perayu malah sebagai peringatan buat orang awam bagi menunjukkan keseriusan mahkamah dalam membanteras jenayah jijik itu daripada berterusan.
“Perayu sebelum ini memohon agar hukuman ringan dikenakan terhadapnya kerana mengaku sesal atas perbuatan yang dilakukannya dan memberi akujanji tidak akan mengulanginya semula.
“Bagaimanapun, mahkamah menolak rayuannya dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dan kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan (ketika kejadian) berusia 11 tahun 11 bulan, di sebuah hotel bajet, pada jam 2.30 petang, 20 November 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan.
Pada 21 Disember 2022, Mahkamah Sesyen Batu Pahat, Johor mendapati dia bersalah dan dihukum penjara 18 tahun bermula tarikh 16 Disember tahun sama dan 10 sebatan.
Dia juga diperintahkan menjalani kaunseling pemulihan (ketika menjalani hukuman pemenjaraan) dan diletakkan bawah pengawasan polis selama dua tahun (selepas selesai hukuman penjara).
Pada 22 Ogos 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Muar menolak rayuannya dan mengekalkan perintah sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah rendah.
Rayuan terakhirnya dibuat pada tahun sama, lelaki itu telah memfailkan Notis Rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap hukuman sahaja, iaitu memohon hukuman pemenjaraan dan sebatan dikurangkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!