Enam lelaki menyamar kontraktor TM, curi kabel diberkas

Antara barangan dan kenderaan yang dirampas
Antara barangan dan kenderaan yang dirampas
A
A
A

AMPANG - Enam lelaki yang menyamar sebagai kontraktor Telekom Malaysia (TM) ditahan kerana disyaki mencuri kabel syarikat itu di Jalan Besar Enggang AU2, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Hulu Kelang telah terserempak dengan lima lelaki melakukan kerja penyelenggaraan dan seorang lelaki lagi berada di dalam lubang sedang memotong kabel pada jam 2.45 pagi.

"Pemeriksaan lanjut mendapati mereka telah memotong kabel dan dalam proses menarik keluar kabel tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Azam berkata, salah seorang suspek telah memperkenalkan diri sebagai penyelia dan menunjukkan surat penyelenggaran TM dalam telefon.

"Pengesahan telah dibuat dengan pihak TM, wakil syarikat itu kemudian telah dipanggil untuk hadir ke tempat kejadian dan mendapati surat tersebut adalah palsu," katanya.

Beliau berkata, kesemua lelaki warga tempatan yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 32 tahun.

"Siasatan awal mendapat suspek terbabit menyamar sebagai kontraktor TM yang sedang menyelenggara projek bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Kita telah merampas sebuah van jenis Nissan Vannette, sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitubishi Triton, beberapa papan tanda jalan, kon, kemeja TM, mesin pemotong rantai dan besi serta pelbagai barangan lain," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hasil semakan mendapati dua lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau yang tidak dikehendaki.

"Ujian air kencing yang dijalankan ke atas kesemua suspek didapati negatif dadah.

"Kesemua suspek direman empat hari bermula Sabtu sehingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 431A Kanun keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!