ADUN pembangkang persoal tempoh sidang DUN hanya sehari
SEREMBAN - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada Isnin sedikit hangat apabila wakil rakyat pembangkang mempersoalkan tempoh persidangan kali ini yang diadakan tidak sampai sehari.
Kamarul Ridzuan (PN-Paroi) turut meminta penjelasan berhubung perkara itu selain menyifatkan persidangan DUN yang ditangguhkan seperti di 'luar tabii'.
"Saya ingin penjelasan kenapa penangguhan. Kalo ikut peraturan, menangguhkan mesyuarat setelah habis semua pertanyaan itu dijawab, ini 'luar tabii' dlm Dewan... tak sampai satu hari dah ditangguhkan," katanya.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Sikamat) kemudiannya bangun dan meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang untuk belajar perjalanan sidang DUN dengan rakan-rakan dari negeri lain.
Ujarnya, perjalanan persidangan DUN kali ini ditangguhkan lebih awal berikutan tiada penyertaan daripada ADUN pembangkang ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan.
"Soalan hari pertama iaitu soalan lisan kita telah jawab. Untuk soalan bertulis kita sudah bagi jawapan dan soalan hari kedua n ketiga kalau tidak bersidang, kita akan jawab secara bertulis.
"Tadi kita ada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan hanya dua orang ambil bahagian. Macam mana kita nk panjangkan lagi. Jadi saya harap ADUN pembangkang belajar peraturan Dewan dengan rakan di negeri lain," katanya.
Beliau turut menegur perkataan 'luar tabii' yang digunakan oleh Kamarul yang disifatkan tidak sopan.
Tambahnya, sekiranya beliau tidak faham, boleh dapatkan maklumat dengan Setiausaha DUN dan Yang Dipertua DUN.
Bagaimanapun Kamarul tetap tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut dan memaklumkan wakil rakyat pembangkang tidak bersetuju ia ditangguhkan.
"Kita telah menerima surat yang memaklumkan tiga hari sidang DUN diadakan tetapi secara mengejut ditangguhkan hari ini," katanya.
Yang Dipertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman kemudiannya menegaskan yang persoalan terbabit telah pun dijawab oleh Menteri Besar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!