Rusuhan di England: Perak pantau rapat situasi pelajar di UK
IPOH - Kerajaan Perak memantau rapat pelajar anak negeri itu yang melanjutkan pengajian di United Kingdom (UK) susulan rusuhan di beberapa tempat di England.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, semua pelajar perlu sentiasa waspada dengan situasi semasa dan mengambil maklum sebarang arahan daripada Wisma Putra dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.
"Kita sentiasa memantau dan mendapatkan perkembangan terkini khususnya daripada Wisma Putra dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London. Pihak Wisma Putra akan mengemaskini kepada kita tentang perkembangan tersebut.
"Kita juga sentiasa menghubungi Suruhanjaya Tinggi di London untuk melihat kejadian ini dan kita mengharapkan pelajar dari Perak supaya mereka mendapat maklumat terkini agar sebarang tindakan dan pergerakan mereka akan dapat dipantau oleh Wisma Putra kerana kita juga bimbang keselamatan para pelajar dan masyarakat di sana," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan sesi penyamExco Perakpaian Sijil Anugerah Cemerlang dan Hadiah Pemenang JomPay & Menang Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
Khairudin berkata, apa yang dimaklumkan ketika ini keadaan di sana terkawal dan mengharapkan Wisma Putra akan terus memantau.
Jelasnya, begitu juga situasi yang sedang berlaku di Lubnan susulan ketegangan di antara negara tersebut dengan Israel.
Media sebelum ini melaporkan Pihak berkuasa UK berhadapan tekanan yang semakin meningkat pada Ahad (4 Ogos) untuk menamatkan rusuhan terburuk England dalam tempoh 13 tahun selepas insiden pembunuhan kanak-kanak yang sekali gus mencetus kekacauan melibatkan perusuh sayap kanan di seluruh negara.
Pergolakan berkaitan maklumat yang salah mengenai insiden tikaman beramai-ramai yang membunuh tiga remaja perempuan minggu lalu merebak ke beberapa pekan dan bandar pada Sabtu lalu ketika penunjuk perasaan anti-imigresen bertempur dengan polis.
Kira-kira 90 orang telah ditangkap selepas pertempuran meletus di perhimpunan paling kanan di banyak tempat termasuk Liverpool, Manchester, Bristol, Blackpool dan Hull serta Belfast di Ireland Utara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!