Sumber air Kedah kritikal jika Empangan Pedu paras 15 peratus
ALOR SETAR - Tiga takungan empangan yang diselia di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih di paras normal dan orang ramai diminta tidak panik walaupun negara berdepan cuaca panas yang berpanjangan sejak beberapa bulan lalu.
Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, bekalan air di Kedah akan kritikal jika paras takungan air di Empangan Pedu telah berada pada paras 15 peratus.
Walau bagaimanapun, keadaannya masih terkawal kerana kapasiti takungan Empangan Pedu kini adalah sebanyak 37.02 peratus pada Isnin.
"Sejak akhir-akhir ini, macam wujud satu keadaan panik dalam kalangan rakyat Kedah apabila operasi pembenihan awan (OPA) dilaksanakan pada 29 hingga 31 Julai lalu. Mereka tengok bila buat OPA maksudnya takungan air sudah hampir habis dan kering.
"Sebenarnya situasi ini biasa dan pernah berlaku sebelum ini. Kalau mahu tahu keadaan air di Kedah kritikal atau tidak, boleh tengok pada takungan air Empangan Pedu.
"Empangan ini mengumpulkan sumber air dari Empangan Muda dan Empangan Ahning sebelum disalurkan kepada pengguna," katanya pada sidang akhbar pada Isnin.
Jelas Dr Ismail, dua lagi empangan iaitu Empangan Muda kini sebanyak 7.45 peratus dan Empangan Ahning pula sebanyak 80.76 peratus.
Menurutnya, rekod terendah yang pernah dicatatkan di Empangan Pedu adalah 11.21 peratus pada 15 April 1982, Empangan Muda (2.7 peratus pada 6 Mac 1978) dan Empangan Ahning (27 peratus pada 29 Mac 2005).
"Jumlah keseluruhan takungan air hari ini masih mencukupi untuk memenuhi permintaan dan keperluan semasa.
"Takungan air tersebut mampu menyokong tujuan pengairan tanaman padi untuk musim semasa (Musim 1/2024), serta memenuhi keperluan domestik dan industri.
"Dengan jumlah air yang mencukupi, operasi pertanian, penggunaan domestik dan keperluan industri dapat dijalankan dengan lancar dan tanpa gangguan," ujarnya lagi.
Tambah Dr Ismail, MADA tidak bercadang memohon operasi pembenihan awan kerana Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan akan turun lebih banyak pada bulan Ogos, September dan Oktober.
"Sehingga 1 Ogos, stesen hujan MADA telah merekodkan bacaan sebanyak 30 millimeter (mm) turunan hujan di dalam kawasan tadahan Empangan Pedu dan Empangan Muda hasil daripada OPA yang dilakukan selama tiga hari sebelum ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!