Pendirian Sabah kekal, tidak iktiraf sebarang tuntutan luar - Hajiji

Hajiji Noor
Hajiji Noor
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf sebarang tuntutan pihak luar ke atas negeri ini berikutan rakyatnya telah memilih untuk bersama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya menyokong penuh pendirian tegas Kerajaan Perpaduan dalam mempertahankan kedaulatan negara dan menolak sebarang tuntutan ke atas Sabah.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjelaskan pendirian Malaysia yang sama dengan pendirian kami selama ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu susulan ucapan Anwar menerusi Pidato Perdana yang menegaskan bahawa Malaysia sama sekali tidak bertolak ansur mengenai isu tuntutan pihak luar terhadap Sabah.

Hajiji dalam pada itu turut mengulangi bahawa Sabah sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Masyarakat antarabangsa telah mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Hajiji berkata, kerajaan negeri turut menyokong penuh tindakan dan kenyataan Wisma Putra bahawa isi kandungan video tular di media sosial yang mempertikaikan kedaulatan negeri Sabah, tidak berasas dan mengelirukan.

"Kami yakin Kementerian Luar akan dapat menyiasat perkara itu secara menyeluruh dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!