Nenek nekad kendong cucu redah banjir selamatkan diri
HULU SELANGOR - Seorang nenek nekad meredah banjir sedalam hampir semeter sambil menggendong cucu lelakinya yang baru berusia 21 hari untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas banjir melanda Hulu Bernam di sini semalam.
Hashimah Muhammad, 60, berkata air naik dengan mendadak di depan rumahnya sehingga menyebabkan kawasan itu tenggelam menjelang waktu petang.
"Kawasan depan rumah saya agak rendah. Apabila menyedari kawasan itu sudah mula ditenggelami air dan ada yang sudah masuk ke dalam rumah, saya nekad menggendong cucu serta meredah banjir sejauh kira-kira 10 meter bersama menantu untuk ke jalan utama di depan rumah yang agak tinggi.
"Dari jalan utama, saya menaiki motosikal dalam keadaan hujan lebat bersama menantu untuk menyelamatkan diri ke PPS yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah saya,” katanya kepada pemberita di PPS Dewan Serbaguna Kampung Sekolah di sini hari ini.
Rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia setakat tengah hari tadi memaklumkan seramai 143 orang daripada 50 keluarga dari enam kampung di Hulu Bernam masih berlindung di PPS itu.
Seorang lagi penduduk terjejas, Mohd Amir Alias, 59, yang juga orang kurang upaya, berkata air naik dengan laju di rumahnya mulai 5.30 petang semalam selepas hujan tidak berhenti sejak pagi.
"Air tiba-tiba naik menyebabkan saya dan isteri yang berada di rumah panik.
"Jiran-Jiran kemudian meminta bantuan dan saya terpaksa dibantu oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam untuk dibawa ke PPS kerana berkerusi roda,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baharu, P Kireetharan mengesahkan tiada mangsa yang cedera manakala pemantauan paras air menunjukkan trend menurun.
"Cuaca juga baik dan kita harap semua mangsa dapat pulang dengan selamat,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!