Lelaki terjun sungai ditemukan lemas

Mayat mangsa dibawa Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan pengecaman oleh waris. Foto JBPM
Mayat mangsa dibawa Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan pengecaman oleh waris. Foto JBPM
A
A
A

ALOR SETAR - Lelaki yang dipercayai terjun ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, di sini selepas panik dengan kehadiran polis ditemukan lemas pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, mangsa berusia 34 tahun itu telah ditemui pada jam 1.30 petang pada jarak dua kilometer dari lokasi terakhir mangsa dikatakan tenggelam.

Menurutnya, mayat mangsa dijumpai oleh anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dan pemeriksaan pada mayat tidak menemui sebarang dokumen diri.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan pengecaman oleh waris.

"Kes disiasat sebagai mati mengejut sehingga laporan penuh bedah siasat diperoleh kelak," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Zon Satu JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba Satu, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, mayat mangsa ditemukan pada kedalaman tiga meter di dasar sungai oleh pasukan penyelamat di air (PPDA) JBPM yang melakukan selaman sejak pagi Isnin.

"Mayat lelaki itu ditemukan kira-kira dua kilometer dari lokasi kali terakhir dilihat. Operasi untuk menaikan mayat mudah kerana keadaan air tenang dan tidak berarus kuat.

"Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu media melaporkan, akibat panik dengan kehadiran polis menyebabkan seorang lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Padang Terap, Kampung Empa selepas terjun ke sungai tersebut pada Ahad.

Semasa kejadian pada jam 4.15 petang, terdapat tiga lelaki berada di lokasi dipercayai untuk memancing.

Dua daripada tiga lelaki berkenaan melarikan diri manakala seorang lagi nekad terjun ke sungai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!