GERAHAM ajak rakyat jadikan Kedah bebas judi, maksiat
ALOR SETAR - Gabungan Gerak Rakyat Hidupkan Amar Maaruf Hancur Aktiviti Maksiat (GERAHAM) mengajak rakyat Kedah untuk menjadikan negeri ini bebas judi dan maksiat.
Pengerusi GERAHAM, Noor Hakimi Ab Halim berkata, gabungan lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) itu menyokong tindakan kerajaan negeri mempertahankan dasar membanteras aktiviti perjudian dan maksiat di negeri ini.
Menurutnya, beberapa siri himpunan dan sesi penerangan berkaitan isu judi akan diadakan di seluruh daerah bermula Julai lalu.
“Kami menyokong tindakan kerajaan negeri menutup premis judi yang dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun lepas.
“Himpunan aman yang diadakan antara usaha menghimpunkan pelbagai pihak sama ada NGO Islam mahupun perseorangan sebagai solidariti menyokong dasar bebas judi agar dapat dikekalkan,” katanya di sini pada Isnin.
Noor Hakimi berkata, GERAHAM membawa simbol semangat juang dakwah rakyat Kedah yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran atau ‘amar makruf, Nahi Mungkar’.
“Aktiviti judi bukan sahaja tidak disokong oleh umat Islam sebaliknya tidak dipersetujui oleh orang bukan-Islam.
“GERAHAM menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan negeri dalam melaksanakan segala tindakan dan usaha menyejahterakan negeri ini, terutama berkaitan dasar menolak maksiat demi kebaikan dan kemaslahatan rakyat Kedah,” katanya.
Menurutnya, NGO berkenaan akan turut membantu usaha kerajaan negeri melaksanakan ‘amar makruf, nahi mungkar’ dalam memelihara keutuhan sosial dan nilai-nilai murni rakyat Kedah.
“Kami membantah mana-mana pihak yang berusaha atau berulang kali cuba menentang perkara-perkara baik yang diusahakan oleh kerajaan negeri, tanpa sempadan politik, bangsa dan agama,” jelasnya.
Noor Hakimi berkata, diharap apa yang diusahakan ini dapat membangkitkan perjuangan seluruh umat Islam demi agama, bangsa dan negara ke arah Malaysia harmoni untuk seluruh rakyat berbilang bangsa.
“Jika ada petualang yang mencalarkan jati diri bangsa dan agama, ayuh kita bangkit bersatu mengangkat semula syiar agama yang kita pegang dan warisi.
“Saya harap suatu hari nanti GERAHAM akan berada di setiap negeri menyatukan seluruh pertubuhan Melayu Islam tanpa jurang perselisihan demi amar maaruf, nahi mungkar,” tegasnya.
Menurutnya, antara matlamat GERAHAM diwujudkan adalah untuk menghimpunkan NGO Islam, pempengaruh media sosial atau individu menyokong usaha kerajaan negeri memartabatkan dasar Islam di negeri ini.
Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu membenarkan permohonan semakan kehakiman dibuat bagi menghalang tindakan kerajaan negeri mengharamkan aktiviti perjudian berlesen.
Berikutan itu, kerajaan negeri telah memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 24 Jun lalu dan notis permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Julai bagi mempertahankan keputusan menutup premis judi di negeri ini.
Pada 14 November 2022, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan kerajaan negeri tidak lagi meluluskan lesen judi, selain mengehadkan penjualan arak di semua premis terutama di kawasan luar bandar negeri ini.
Pada 1 Januari tahun lepas, keputusan itu dikuatkuasakan menyebabkan semua premis perjudian dan loteri tidak lagi dibenarkan beroperasi di Kedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!