PRK Nenggiri: SPR keluarkan 43 kertas undi pos
SPR mengeluarkan 43 kertas undi pos kepada individu yang berhak mengundi secara pos pada PRK Nenggiri, Kelantan.
A
A
A
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, 41 kertas undi pos Kategori 1A dikeluarkan untuk petugas pilihan raya dan anggota polis manakala dua undi pos Kategori 1C untuk agensi dan organisasi.
"Kesemua anggota polis terlibat dalam PRK ini telah dikeluarkan kertas undi pos (untuk mereka). Oleh itu tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada 13 Ogos ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pengeluaran kertas undi pos itu dilakukan oleh petugas pilihan raya yang dilantik oleh Pegawai Pengurus dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon bertanding.
Beliau turut mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus sebelum pukul 5 petang pada hari mengundi, 17 Ogos ini.
"Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial," katanya.
PRK Nenggiri diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
SPR menetapkan hari mengundi bagi PRK Nenggiri pada 17 Ogos ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!