CUEPACS kesal had cuti bersalin 60 hari pegawai perubatan di Hulu Langat
KUALA TERENGGANU - Tindakan diambil oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk menghadkan cuti bersalin sebanyak 60 hari sahaja sewajarnya tidak berlaku meskipun perkara itu telah dipersetujui oleh semua ketua klinik di daerah Hulu Langat.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat menyatakan semua penjawat awam wanita sewajarnya diberi kemudahan untuk cuti bersalin selama 90 hari seperti yang telah diluluskan kerajaan.
Justeru, beliau berkata, langkah memendekkan cuti itu amat dikesali kerana perkara tersebut boleh dielakkan sekiranya ketua perkhidmatan mengambil langkah awal dengan menyusun mobiliti pekerja atau membuat pelantikan yang wajar dengan anggaran berlakunya cuti bersalin secara serentak di mana-mana tempat.
"Jadi kita berharap supaya bahagian sumber manusia dapat memastikan perkara sebegini tidak lagi berlaku pada masa akan datang.
"Buat penyusunan yang sesuai dan pelantikan ikut waran yang sedia ada serta waran tersebut hendaklah diisi.
"Kita tidak mahu kebajikan penjawat awam terjejas dengan menghadkan cuti bersalin mereka kepada 60 hari berbanding 90 hari yang diluluskan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Inspirasi Gemilang Penjawat Awam (Kesihatan Negeri Terengganu) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada Isnin.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan keputusan untuk meluluskan penetapan cuti bersalin selama hanya 60 hari berikutan kekurangan pegawai perubatan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat, Selangor telah dipersetujui oleh semua ketua klinik di daerah berkenaan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata, keputusan itu dicapai dengan mengambil kira terdapat tujuh pegawai perubatan telah cuti bersalin secara serentak di beberapa klinik kesihatan sepanjang Jun dan Julai lepas.
Ummi Kalthom berkata, ia juga disebabkan beberapa pegawai perubatan yang diarahkan melapor diri ke PKD Hulu Langat telah menolak penempatan yang diberikan.
Mengulas lanjut, Adnan menyatakan walaupun keputusan menghadkan cuti bersalin hanya 60 hari itu boleh dilakukan oleh ketua perkhidmatan, namun ia perlu dielak demi menjaga kebajikan pegawai yang bertugas.
"CUEPACS berharap jika ada yang memohon cuti 90 hari, ia perlu diluluskan kerana mahu memberi kelegaan dan tempoh rehat yang selesa sepanjang tempoh berpantang," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!