LKTN lesen 29,098 premis edar tembakau

Foong Hin (tengah) melihat sijil APC kakitangan LKTN selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 pada Selasa.
Foong Hin (tengah) melihat sijil APC kakitangan LKTN selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) melesenkan sejumlah 29,098 daripada 38,067 premis yang berdaftar di seluruh Semenanjung Malaysia untuk pengedaran atau pengeluaran tembakau.

Timbalan Menteri Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, jumlah itu sejak 1 Januari tahun lalu hingga 15 Julai lepas.

Menurut beliau, bermula Mei lalu, penguatkuasaan Peraturan-Peraturan LKTN (Pelesenan Tembakau dan Keluaran Tembakau) 2011 bagi Lesen Mengedar Tembakau dan Keluaran Tembakau juga dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan penguatkuasaan pendidikan kepada baki premis belum dilesenkan.

"Antara kaedah yang digunakan ialah memberi nasihat, teguran dan kempen kesedaran bagi mendapatkan lesen secara berterusan kepada pihak yang terlibat.

"LKTN turut menyasarkan untuk melesenkan sebanyak 17,488 baki premis yang belum memohon lesen mengedar tembakau atau keluaran tembakau dengan kadar Fi sebanyak RM150 setahun," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi LKTN, Wan Abd Rahim Wan Abdullah dan Ketua Pengarah LKTN Wan Baharuddin Wan Ismail.

Tambah Foong Hin, Peraturan-Peraturan LKTN (Pengkompaunan Kesalahan) 2024 turut diwartakan pada 12 Januari 2024 dan berkuatkuasa 1 Februari tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Foong Hin memberitahu, beliau akan melakukan lawatan ke Pusat Pemprosesan Kenaf Saujana Setiu yang merupakan kilang pertama kenaf di negara ini.

Katanya lagi, kilang itu mampu mengeluarkan 2,400 tan metrik produk separa siap daripada kenaf dengan nilai untuk pasaran antara RM16 hingga 18 juta setahun.

"Kilang ini turut menyokong pembangunan tanaman kenaf sehingga 1,000 hektar di kawasan sekitar membabitkan pekebun kecil di Kelantan dan Terengganu," katanya.

Foong Hin juga yakin kenaf berpotensi tinggi dalam memajukan pelbagai industri di negara ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 45 warga kerja LKTN dipilih menerima berdasarkan prestasi kerja tahun lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!