Meta diskriminasi, sekat kebebasan berpandangan - PMO

Wakil Meta hadir dalam pertemuan yang berlangsung selama dua jam di sini pada Isnin.
Wakil Meta hadir dalam pertemuan yang berlangsung selama dua jam di sini pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyifatkan tindakan penyedia platform media sosial, Meta Platforms Inc (Meta) menurunkan dua hantaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menghalang siaran langsung Himpunan Pembebasan Palestin sebagai satu bentuk diskriminasi, sikap tidak adil serta menyekat kebebasan berpandangan.

Perkara tersebut dibangkitkan dalam pertemuan Pejabat Perdana Menteri dan wakil Meta yang berlangsung selama dua jam, di sini pada Isnin.

Turut hadir dalam pertemuan itu adalah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

No Image Caption

Tegas pejabat itu, tindakan Meta juga adalah penghinaan terhadap perjuangan sah rakyat Palestin menuntut keadilan dan hak asasi manusia.

"Kami turut menegaskan bahawa tindakan menurunkan hantaran ini telah memberi kesan mendalam kepada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia yang memahami penderitaan rakyat Palestin dan menentang kezaliman rejim Zionis Israel seperti terpahat dalam lipatan sejarah," katanya.

Sehubungan itu, Pejabat Perdana Menteri menuntut beberapa perkara, termasuk penjelasan terperinci berhubung tindakan yang diambil oleh pihak Meta serta permohonan maaf secara terbuka.

"Seperti yang telah dijanjikan di dalam pertemuan ini, satu kenyataan media akan dikeluarkan oleh pihak Meta dalam masa terdekat," jelas pejabat itu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, dua hantaran Anwar masing-masing pertemuan dengan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Qatar pada Mei lalu dan ucapan takziah serta penghormatan terhadap bekas Perdana Menteri Palestin itu, yang dibunuh minggu lalu.

Terbaharu, Berita RTM disekat untuk menyiarkan secara langsung Himpunan Pembebasan Palestin menerusi Facebook pada Ahad lepas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!