Yiwen umum bersara selepas 10 tahun wakili negara
Menurut kenyataan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) hari ini, Yiwen menjelaskan bahawa beliau terpaksa membuat keputusan tersebut demi menerokai alam pekerjaan.
"Meninggalkan dunia skuasy kompetitif bukanlah keputusan yang mudah. Namun, saya mempunyai peluang yang baik di hadapan dan akan mula bekerja tidak lama lagi.
"Pada usia 24 tahun selepas baru sahaja menamatkan pengajian sarjana, saya mula mempertimbangkan sama ada untuk meneruskan sukan atau beralih ke dunia korporat. Jika saya menyertai sektor korporat pada usia 28 atau 29 tahun, ia akan lebih mencabar untuk memulakan kerjaya," katanya.
Sepanjang kariernya sebagai pemain kebangsaan, pemain kelahiran Kedah itu telah memenangi beberapa kejuaraan termasuk Klasik Antarabangsa Chongqing, Terbuka Melbourne, Terbuka North Coast dan yang terbaru Piala Cabaran Hong Kong PSA (Persatuan Skuasy Profesional), Februari lalu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!