'Jangan risau gaji naik, tetap beri khidmat terbaik' - Cuepacs

Adnan (tengah) ketika sidang akhbar selepas Perhimpunan Inspirasi Gemilang Penjawat Awam (Kesihatan Negeri Terengganu) di HSNZ di Kuala Terengganu pada Isnin.
Adnan (tengah) ketika sidang akhbar selepas Perhimpunan Inspirasi Gemilang Penjawat Awam (Kesihatan Negeri Terengganu) di HSNZ di Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa penjawat awam di seluruh negara meningkatkan prestasi kerja selaras dengan kenaikan gaji bakal diumumkan oleh kerajaan pada 16 Ogos depan.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat menjelaskan kenaikan gaji itu sepatutnya tidak dijadikan isu kerana pihaknya memberi jaminan akan meningkatkan mutu serta terus memberi perkhidmatan baik kepada rakyat.

"Kita menyeru kepada anggota perkhidmatan awam supaya terus kekal memberi sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan pada rakyat dengan lebih baik.

"Kita lihat ramai netizen komen sebagai contoh mempersoalkan kenapa harus naik gaji, kenapa gaji dipertingkatkan dan perkhidmatan diberi belum ada penambahbaikan dan sebagainya. Jadi semua ini kita ambil maklum.

"Kami ingin menjelaskan pada rakyat. Jangan bimbang dengan kenaikan gaji penjawat awam. Kenaikan gaji ini tetap kami beri perkhidmatan baik.

"Kami sentiasa beri pulangan baik pada majikan kami iaitu kerajaan selain tetap beri perkhidmatan baik pada rakyat di luar sana. Itu komitmen kami," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Inspirasi Gemilang Penjawat Awam (Kesihatan Negeri Terengganu) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Adnan menyatakan tidak menolak bahawa kerajaan boleh membuat sesuatu keputusan lain berhubung kenaikan gaji itu sekiranya tiada sebarang peningkatan dari segi produktiviti dan prestasi dipamerkan penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, penjawat awam di negara ini telah memberi perkhidmatan sebagaimana dimahukan oleh kerajaan selain telah menyampaikan perkhidmatan baik semasa Covid-19 melanda negara sebelum ini.

"Jadi jangan berasa ragu (naik gaji). Walaupun naik gaji tetapi perkhidmatan (diberikan) tetap kekal sebagaimana hari ini.

"Malah kami beri jaminan akan beri lagi perkhidmatan sebagaimana kami telah lakukan semasa Covid-19 di mana kami bertindak sebagai barisan hadapan dalam menjaga keselamatan, ketenteraman dan kedaulatan negara.

"Jangan bimbang dengan kenaikan gaji. Komitmen kami terus beri perkhidmatan baik kepada majikan selaku kerajaan dan rakyat sebagai penerima sistem penyampaian," jelas beliau.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan skim gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini.

Anwar berkata, kadar itu tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.

Pada 15 Julai lepas, pengumuman khas berkaitan dengan kenaikan gaji 1.5 juta penjawat awam akan dibuat kerajaan pada 16 Ogos depan.

Menerusi hantaran di laman X, Jabatan Perkhidmatan Awam memaklumkan, pengumuman khas itu diadakan menerusi Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!