Tiga lelaki ditahan terlibat kes curi kabel
NIBONG TEBAL - Tiga lelaki ditangkap selepas terlibat dengan kegiatan mencuri kabel di Jalan Bukit Panchor di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kesemua suspek ditahan kira-kira jam 4.25 pagi selepas dilihat mencurigakan dalam kenderaan jenis Mitsubishi Triton oleh anggota polis yang sedang melalukan rondaan cegah jenayah.
Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam kenderaan terbabit menemui pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan mencuri kabel.
"Hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek yang berusia antara 31 hingga 33 tahun masing-masing memiliki sembilan, 22 dan empat rekod kesalahan lampau membabitkan dadah dan jenayah.
“Ketiga-tiga suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan dan hasil tangkapan telah berjaya menyelesaikan sepuluh kes curi kabel di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan tiga kes di Seberang Perai Selatan (SPS)," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Hamzah berkata, kesemua suspek kini direman selama dua hari untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana suspek gagal memberi keterangan terhadap barangan yang dimiliki.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!