PRK Nenggiri: Polis lulus 16 permit ceramah, kempen bergerak

Polis meluluskan 16 permit ceramah dan kempen bergerak yang dipohon parti politik bertanding bagi PRK DUN Nenggiri sejak hari penamaan calon Sabtu lepas hingga hari ini. - Foto: Bernama
Polis meluluskan 16 permit ceramah dan kempen bergerak yang dipohon parti politik bertanding bagi PRK DUN Nenggiri sejak hari penamaan calon Sabtu lepas hingga hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Polis meluluskan 16 permit ceramah dan kempen bergerak yang dipohon parti politik bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sejak hari penamaan calon Sabtu lepas hingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, daripada jumlah itu, 10 permit membabitkan ceramah dan baki enam lagi bagi kempen bergerak, manakala tiada sebarang permohonan permit yang ditolak setakat ini.

"Sebanyak lapan permit diluluskan untuk blok Barisan Nasional (BN) melibatkan dua ceramah dan enam kempen bergerak, manakala bagi Pas pula kesemua lapan permit yang diluluskan adalah untuk ceramah," katanya ketika dihubungi hari ini.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, apabila bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos tidak akan diadakan selepas kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos susulan keperluan mereka bertugas sepanjang tempoh kempen.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan wakil Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan logo Pas. - Bernama

Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!