Tersasul ketika bicara dimaafkan ALLAH - Mohd Khairuddin
SHAH ALAM - Tersasul ketika berucap atau berkata-kata tanpa sebarang niat yang disengajakan adalah kesilapan biasa berlaku kepada manusia hukumnya dimaafkan ALLAH.
Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, perkara itu terdapat dalam firman ALLAH menerusi surah al-Ahzab ayat kelima.
"Dan tiada kesalahan ke atas kamu pada apa yang kamu tersilap tetapi (yang salah) ialah apa yang disengajakan oleh hati kamu. Dan adalah Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
"Dalam hadis, Nabi SAW menjelaskan tentang seorang hamba yang terlalu dan teramat gembira menemui kembali untanya yang turut membawa makanan serat minumannya yang hilang di padang pasir. Setelah puas berusaha mencari dan telah berputus asa menemuinya kembali sehingga tersasul ketika bersyukur kepada ALLAH lalu menyebut, ya ALLAH! Kamulah hambaku dan akulah Tuhanmu.
"Dia tersilap (tersasul) kerana terlampau gembira (hadis riwayat Muslim nombor 2747). Kegembiraan yang amat sangat menjadikan si hamba tersasul menyebut perkataan yang pada zahirnya menjadikan dirinya kufur sedangkan niatnya ialah bersyukur kepada ALLAH," katanya menerusi kenyataan di Facebooknya pada Isnin.
Beliau berkata demikian merujuk kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tersasul semasa berucap di Himpunan Pembebasan Palestin yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad.
Sebelum ini, Ahmad Zahid memohon maaf kerana tersasul semasa berucap di himpunan tersebut.
Beliau berkata, keghairahan berpidato ketika itu untuk memberikan dukungan dan tanda solidariti bagi membebaskan Palestin.
Tambah Mohd Khairuddin, hadis berkenaan menjelaskan bagaimana tersasul dalam berkata-kata boleh berlaku apabila sesuatu keadaan menguasai hati dan perasaan sehingga di saat itu lidah tidak terkawal berkata-kata mendahului perasaan.
Ujarnya, perasaan terlalu gembira dengan nikmat menjadikan lidahnya tidak terkawal mendahului perasaannya lantas menyebut perkataan yang terbalik lalu Tuhan dikatakan hamba dan dirinya pula diperakui sebagai Tuhan.
"Merujuk kepada pidato Ahmad Zahid dalam Himpunan Pembebasan Palestin pada Ahad yang tersasul menyebut 'Hidup Israel' merupakan kesilapan yang berlaku dalam keghairahan dan semangat mendukung Palestin dan menentang rejim haram Israel.
"Malah berulang kali sebelum dan selepasnya beliau menyebut kata-kata yang tepat iaitu 'Hidup Palestin, Hancur Israel'.
"Kesilapan tersebut termasuk dalam kategori kesilapan yang dimaafkan oleh ALLAH dan tidak diambil kira dalam catatan amalan sebagaimana Hadis Nabi SAW yang bermaksud sesungguhnya ALLAH menggugurkan daripada umatku kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atas dirinya (Hadis Ibnu Majah nombor 2045, dinilai sahih oleh al-Albaani)," katanya.
Jelas beliau, bagaimanapun malang sekali apabila kesilapan berkenaan dijadikan modal oleh ahli politik yang rendah akhlaknya dengan mempersendakan ucapan tersebut di media maya.
"Sedangkan dalam masa yang sama kita juga mendengar beberapa pimpinan politik lain juga turut tersasul ketika berucap.
"Seperti yang berlaku kepada Menteri Besar Kelantan tersasul ketika berucap di Nenggiri dengan menyebut 'Pas adalah Bersatu dan Bersatu adalah DAP'.
"Begitu juga pernah berlaku seorang pimpinan Dewan Ulamak Pas yang tersasul mendoakan kemusnahan Perikatan Nasional ketika berdoa secara jamaei dalam perhimpunan ramai.
"Marilah kita serikan pentas demokrasi politik negara kita dengan hiasan akhlak mulia meskipun kita berbeza," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!