Wanita besi Bangladesh tumbang selepas 15 tahun berkuasa
DHAKA - Sheikh Hasina pernah membantu menyelamatkan Bangladesh daripada pemerintahan tentera tetapi pemerintahannya yang lama telah tumbang tiba-tiba pada hari Isnin ketika penunjuk perasaan menyerbu istananya di Dhaka.
Selama 15 tahun berturut-turut beliau berkuasa dan berjaya meningkatkan ekonomi negara dan pada masa sama melakukan penahanan besar-besaran seteru politik dan sekatan hak asasi manusia terhadap perlakuan pasukan keselamatannya.
Kemuncak pentadbiran Hasina menunjukkan bakal berakhir ketika protes bermula pada Julai lalu dengan dimulakan dengan perhimpunan yang diketuai oleh pelajar universiti menentang kuota pekerjaan perkhidmatan awam tetapi tidak lama kemudian ia memuncak menjadi pergolakan maut dan menuntut beliau berundur.
Serangan ke atas penunjuk perasaan oleh polis dan kumpulan pelajar pro-kerajaan bulan lalu juga mencetuskan kecaman antarabangsa.
Hasina, 76, memenangi penggal kelima sebagai perdana menteri pada Januari lalu tetapi pembangkang memboikot undi yang dikatakan tidak bebas dan tidak adil.
Pengkritik menuduh kerajaannya melakukan pencabulan hak, termasuk pembunuhan aktivis pembangkang.
Anak perempuan kepada revolusioner yang memimpin Bangladesh mencapai kemerdekaan, Hasina berjaya menjana pertumbuhan ekonomi yang pesat di negaranya.
Beliau pernah berjanji tahun lalu untuk menjadikan seluruh Bangladesh sebagai 'negara makmur dan maju' tetapi kira-kira 18 juta anak muda Bangladesh masih menganggur.
Ketika Hasina berusia 27 tahun dan melancong ke luar negara, seorang pegawai tentera telah membunuh bapanya, perdana menteri Sheikh Mujibur Rahman dan ibunya serta tiga abangnya dalam rampasan kuasa pada tahun 1975.
Beliau kembali enam tahun kemudian untuk mengambil alih tampuk pimpinan parti Liga Awami bapanya.
Kemudian, Hasina bergabung tenaga dengan Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) pimpinan Khaleda Zia untuk membantu menggulingkan diktator tentera Hussain Muhammad Ershad pada tahun 1990.
Tetapi mereka tidak lama kemudian tewas dalam pilihan raya dan pesaing mereka mendominasi politik Bangladesh moden.
Hasina mula berkhidmat sebagai perdana menteri pada 1996 tetapi tewas kepada Khaleda pada lima tahun kemudian.
Hasina dan Khaleda dipenjarakan atas tuduhan rasuah pada 2007 selepas rampasan kuasa oleh kerajaan yang disokong tentera.
Tuduhan itu digugurkan dan mereka bertanding dalam pilihan raya pada tahun berikutnya yang mana Hasina menang secara besar-besaran. Dia telah berkuasa sejak itu.
Manakala Khaleda, 78, yang kesihatan merosot teruk dan terkurung di hospital selepas dia dijatuhi hukuman penjara 17 tahun kerana rasuah pada 2018.
Penyokong telah memuji Hasina kerana memimpin Bangladesh sehingga berjaya meningkatkan ekonomi, sebahagian besarnya dibantu tenaga kerja kilang yang kebanyakannya wanita menjana industri eksport pakaian di negara tersebut.
Bangladesh, salah satu negara termiskin di dunia apabila memperoleh kemerdekaan daripada Pakistan pada 1971, telah berkembang secara purata lebih enam peratus setiap tahun sejak 2009.
Semasa pentadbiran beliau, kemiskinan telah menjunam dan lebih 95 peratus daripada 170 juta penduduknya yang kini mempunyai akses kepada elektrik, dengan pendapatan per kapita mengatasi India pada 2021.
Hasina juga dipuji kerana tindakan tegas terhadap militan Islam di negara majoriti Islam itu selepas lima pelampau Bangladesh menyerbu kafe Dhaka yang popular dengan ekspatriat Barat dan membunuh 22 orang pada 2016. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!