Jelajah Joran Pantai Timur tawar lebih RM30,000

Pemandangan pertandingan memancing di Pantai Senok.
Pemandangan pertandingan memancing di Pantai Senok.
A
A
A

KOTA BHARU – Hadiah wang tunai lebih RM30,000 menanti pemenang pertandingan memancing Jelajah Joran Pantai Timur (JJPT), di Pantai Senok di sini Sabtu ini.

Juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000, naib juara menerima RM2,000 dan ketiga RM1,000.

Pemenang keempat akan menerima menerima RM500, kelima RM300, manakala keenam hingga 100 pula menerima RM150.

Pertandingan anjuran West Coast Surfcaster (WCS) itu adalah siri kedua JJPT tahun ini yang mendapat sokongan Tourism Malaysia dan ia akan bermula pada jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Kaunter pendaftaran dibuka di lokasi pertandingan bermula Jumat ini pada jam 3 petang hingga 12 malam dan bersambung jam 7 pagi pada Sabtu, hingga pertandingan dimulakan.

Jurucakap penganjur, Sharudin Adnan berkata, pertandingan itu akan diadakan di Pantai Senok yang sering menjadi lokasi pertandingan di Kelantan.

Spesies pari yang dipancing di Pantai Senok.
Spesies pari yang dipancing di Pantai Senok.

“Sudah beberapa kali pertandingan memancing diadakan di sini. Pantai Seno mempunyai pantai yang panjang dan cantik serta dihuni pelbagai spesis ikan.

Artikel Berkaitan:

“Dalam tinjauan kami, pantai ini mempunyai potensi besar berikutan beberapa pemancing yang ditemui mengatakan spesis ikan pari, gerong belang, ebek, dan todak banyak mendiami dasar laut di sini,” katanya pada Isnin.

Beliau berkata, pertandingan itu dijangka membantu industri pelancongan domestik dengan pergerakan peserta dari negeri seluruh Semenanjung bagi menyertainya.

Katanya, selain memancing, peserta yang hadir bersama keluarga untuk bercuti di pusat pelancongan popular itu, turut menyumbang kepada kerancakan ekonomi setempat khususnya dalam sektor makanan dan perhotelan.

“Bagi menggalakkan kehadiran peserta, penganjur menetapkan yuran RM75 untuk satu joran manakala bagi pemancing kelainan upaya pula hanya perlu membayar RM50,’’ katanya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!