Malaysia seru krisis Sudan diberi perhatian Global pada persidangan
KUALA LUMPUR - Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru masyarakat antarabangsa untuk memberi perhatian terhadap krisis kemanusiaan di Sudan, dengan lebih 11 juta orang yang dipindahkan secara dalaman dan 18 juta orang atau 37 peratus daripada populasinya menghadapi kebuluran yang dahsyat.
Dalam ucapan penutupnya pada persidangan "Sudan - The Forgotten War" pada Isnin, yang diadakan di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Mohamad menekankan cabaran kemanusiaan yang teruk dan kurang dilaporkan dihadapi Sudan, serta menegaskan perlunya tindakan segera di peringkat global.
"Krisis kemanusiaan di Sudan adalah salah satu tragedi yang paling teruk dan kurang dilaporkan pada masa kini. Walaupun mempunyai populasi yang dipindahkan secara dalaman terbesar di dunia, ia tetap tidak diberi perhatian sewajarnya,” katanya dalam ucapan penutupnya.
Beliau berkata, perang saudara Sudan bukanlah sekadar konflik yang jauh tetapi krisis kemanusiaan yang menuntut perhatian masyarakat global, sambil menegaskan perlunya tindakan yang bijaksana dan penuh belas kasihan untuk menangani krisis itu dengan berkesan.
Mohamad menekankan kepentingan bantuan jangka pendek dan penyelesaian jangka panjang untuk menangani krisis itu, menggesa dialog dan pengantaraan melibatkan pihak ketiga yang neutral untuk memudahkan resolusi adil kepada konflik yang berterusan.
Dalam ucapannya, menteri itu juga mengulangi komitmen Malaysia untuk menyokong Sudan melalui inisiatif diplomatik, kemanusiaan, dan pembangunan.
Beliau menyoroti persahabatan yang lama terjalin antara kedua-dua negara yang telah terjalin lebih 51 tahun, yang ditandai dengan pertukaran diplomatik, perdagangan, dan budaya.
"Sejak awal lagi, hubungan kita telah berkembang melebihi formaliti diplomatik, ia melambangkan persahabatan yang mendalam berdasarkan penghormatan bersama dan aspirasi bersama untuk keamanan dan kemajuan,” katanya.
Persidangan itu dihadiri tetamu kehormat termasuk Pemangku Menteri Luar Sudan, Duta Hussein Awad Ali yang menyediakan platform untuk membincangkan punca utama perang saudara Sudan dan meneroka perkembangan politik dan keselamatan di rantau itu.
Sejak pertengahan April 2023, dianggarkan 7.3 juta orang telah dipindahkan dalam Sudan, dengan kanak-kanak merangkumi separuh daripada jumlah ini.
Konflik itu telah menyebabkan kemusnahan besar-besaran, dengan populasi menghadapi kekurangan makanan, tempat tinggal, dan rawatan perubatan yang akut.
Malaysia secara konsisten menyokong proses damai Sudan dan memperjuangkan perkembangannya melalui platform antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Usaha kemanusiaan Malaysia di Sudan termasuk membantu pelarian Darfur, menawarkan biasiswa kepada pelajar Sudan, dan menyediakan latihan teknikal melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!