PM ucap tahniah kepada Lee Zii Jia kejayaan menang gangsa Olimpik Paris 2024

Tangkap layar ucapan tahniah Anwar di platform X.
Tangkap layar ucapan tahniah Anwar di platform X.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pemain badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, kerana berjaya meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024, malam ini.

"Tahniah Lee Zii Jia! Satu lagi persembahan memukau yang menghadirkan pingat gangsa kedua untuk negara!” katanya menerusi ciapan di platform X malam ini.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengucapkan tahniah kepada Zii Jia dan membuktikan bahawa kekalahan untuk mara ke peringkat akhir tidak pernah mematahkan semangat juangnya, untuk terus berjuang demi meraih pingat untuk negara tercinta.

"Syabas dan tahniah buat pemain perseorangan negara Zii Jia yang telah berjaya memberikan Malaysia pingat gangsa kedua untuk negara tercinta.

"Kami cukup berbangga dengan persembahan mantap dan cukup hebat yang dipamerkan oleh LZJ sebentar tadi. Anda ternyata wira negara! Syabas dan tahniah sekali lagi," katanya menerusi hantaran di Facebook, malam ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof turut mengucapkan tahniah atas kejayaan atlet negara itu dalam meraih pingat kedua negara di Paris.

"Tahniah Lee Zii Jia!!! Pingat gangsa kedua untuk Negara. Persembahan memukau. Tahniah sekali lagi," kata Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menerusi hantaran di laman Facebook.

Turut berkongsi ucapan tahniah kepada pemain badminton perseorangan lelaki negara itu ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

"Terima Kasih Lee Zii Jia kerana hadiahkan pingat kedua Olimpik Paris buat Malaysia tercinta! Tahniah! Kami sangat berbangga dengan anda," katanya.

Selain itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, turut mengucapkan tahniah kepada Zii Jia di Facebook masing-masing.

Ini merupakan pingat kedua buat negara pada Sukan Olimpik Paris 2024, selepas kejayaan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turut menang pingat gangsa, semalam.

Zii Jia, pemain ranking ketujuh dunia, meraih pingat gangsa menerusi aksi cemerlang menentang Lakshya Sen dari India, dengan bangkit daripada ketinggalan satu set dengan kemenangan 13-21, 21-16, 21-11 pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena, Paris.

Pada Ahad petang, Zii Jia yang berusia 26 tahun terpaksa akur dengan kekalahan 14-21, 15-21 kepada juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!