BN ada kelebihan rampas semula DUN Nenggiri

Khairy dalam Podcast Keluar Sekejap (KS) pada Isnin.
Khairy dalam Podcast Keluar Sekejap (KS) pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) mempunyai banyak kelebihan untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri daripada Perikatan Nasional (PN) disebabkan pelbagai kelebihan dimiliki gabungan itu.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yakin faktor pengaruh Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Gua Musang selama 12 penggal akan membantu kemenangan BN.

"Saya rasa kita akan lihat ‘flip’ pertama pada PRK Nenggiri, sebab pengaruh Ku Li besar di kawasan itu," katanya menerusi Podcast Keluar Sekejap (KS) pada Isnin.

Khairy berkata, momentum kemenangan itu boleh dirasai kerana 13 peratus pengundi di situ adalah Orang Asli.

"Saya difahamkan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor, Orang Asli pertama yang dipilih untuk menjadi ahli Parlimen sekarang ini yang juga merupakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ditugaskan di kawasan itu untuk mendapatkan sokongan kaum peribumi di situ,” katanya.

Bagaimanapun, Khairy berkata, sekiranya BN menang pada PRK Nenggiri, tidak dapat dirumuskan sama ada ia menjadi ‘isyarat besar’ bahawa sudah ada perubahan pola pengundi Melayu kembali menyokong BN.

"Tak boleh buat rumusan pengundi Melayu kembali sokong BN, sebab ini cuma satu kawasan.

"Tetapi ia akan memberi sedikit berita gembira kepada BN selepas selama ini kecundang apabila nak cuba tawan semula kawasan yang kalah pada PRK lepas,” ujarnya,

Artikel Berkaitan:

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, sekiranya keadaan itu berlaku ia akan memberikan semangat kepada penyokong dan ahli UMNO yang boleh diraikan dalam perhimpunan agung dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos.

PRK Nenggiri pada 17 Ogos depan menyaksikan pertembungan dua penjuru antara BN diwakili Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dengan calon Bersatu mewakili PN Mohd Rizwadi Ismail.

PRK berkenaan diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan Ke-15 tahun lepas, Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo Pas menewaskan calon BN Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!