Zii Jia sebak imbas detik sukar ke Paris
JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sebak setelah mengharungi pelbagai detik sukar sebelum meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2024 di Paris sebentar tadi.
Biarpun terlepas impian emas, Zii Jia turun berdepan Lakshya Sen dari India dalam aksi penentuan tempat ketiga setelah kalah kepada juara dunia, Kunlavut Vitidsarn dari India dalam aksi separuh akhir pada Ahad.
Dalam aksi tersebut, pemain di ranking ketujuh dunia itu tumpas pada set pertama 13-21, sebelum bangkit mengikat kedudukan 21-16 dan mengesahkan kemenangan 21-11 pada set penentuan.
Zii Jia tidak dapat menahan sebak sambil bercerita tentang berita tersebar mengenai dirinya setiap pagi sedangkan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.
”Setiap pagi saya bangun, saya nampak macam-macam berita. Saya tertanya-tanya apa salah yang saya buat.
”Saya cuma bangun seperti biasa, datang ke latihan, diam-diam sahaja. Maksud saya, saya tak tahu apa yang berlaku terutamanya kepada media," katanya kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani.
Beliau mengambil langkah mengunci mulut sepanjang tempoh itu dan mahu buktikan kepada semua dengan kejayaan di Paris dan ia hanyalah permulaan untuk edisi akan datang.
”Saya cuma beritahu diri untuk kekal senyap, tak kira macam mana mereka malukan dan cakap apa-apa tentang saya, saya cuma kekal diam.
”Saya akan buktikan kepada mereka semua. Walaupun ini hanya pingat gangsa, tetapi saya akan terus berusaha dapatkan emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!