Isu kerusi DUN Mahkota: Usah bincang secara terbuka melalui media
SHAH ALAM – Ahli Amanah dinasihatkan agar tidak membangkitkan sebarang pertikaian atau tuntutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menerusi media.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan bahawa isu tuntutan kerusi DUN Mahkota itu tidak perlu dibincangkan secara terbuka memandangkan ia masih belum dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan.
“Saya ambil maklum tuntutan kerusi DUN Mahkota oleh akar umbi Amanah yang telah diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain Jumaat lalu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau turut meminta semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan terutama ahli Amanah untuk memberikan tumpuan penuh kepada PRK Nenggiri yang sedang dipertandingkan sekarang.
“Amanah terus komited kepada usaha untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya
Sebelum ini, Ketua Amanah Kawasan Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain dalam sidang akhbar pada Isnin mendesak pucuk pimpinan PH dan BN supaya memilih calon parti itu bertanding dalam PRK DUN Mahkota.
Menurut Mohd Zuhan, Amanah Kawasan Kluang yakin menang selepas membuat kajian dan analisis serta berdasarkan data terkini termasuk sokongan rakyat di kawasan itu.
Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menyatakan kekesalan dengan kenyataan Mohd Zuhan itu dan menyifatkan desakan supaya calon Amanah bertanding sebagai gelojoh dan tamak.
Menurut Noor Azleen, sikap yang ditunjukkan Amanah itu langsung tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang baru meninggal dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!