Syarikat penerbangan India gantung penerbangan ke Bangladesh
NEW DELHI - Syarikat penerbangan India menggantung penerbangan ke Bangladesh selepas Sheikh Hasina meletak jawatan sebagai perdana menteri dan melarikan diri dari Dhaka pada Isnin.
"Memandangkan situasi terkini di Bangladesh, kami telah membatalkan operasi berjadual penerbangan kami ke dan dari Dhaka berkuat kuasa serta-merta," kata Air India.
Syarikat penerbangan IndiGo berkata, semua penerbangannya yang dijadualkan pada Selasa telah dibatalkan.
Kerajaan sementara sedang dibentuk untuk mentadbir Bangladesh, Ketua Turus Tentera Darat negara itu Jeneral Waker-Uz-Zaman mengumumkan sebelum ini.
Sebuah pesawat pengangkut tentera C-130 Bangladesh yang membawa Hasina dan adiknya, Rehana, mendarat di pangkalan Tentera Udara Hindon berhampiran New Delhi, lapor media India.
Penasihat keselamatan negara India Ajit Doval bertemu Hasina di pangkalan itu, menurut Agensi Berita PTI.
Hasina menikmati hubungan rapat dengan India semasa pemerintahannya.
Bekas perdana menteri itu sedang dalam perjalanan ke London, menurut laporan India, memetik sumber.
Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar memberi taklimat kepada Perdana Menteri Narendra Modi mengenai perkembangan di Bangladesh, kata laporan itu.
Sementara itu, kumpulan Pelajar Menentang Diskriminasi, yang memimpin protes besar-besaran terhadap kerajaan Liga Awami Hasina, menyeru orang ramai untuk menahan diri daripada sebarang keganasan.
"Kita perlu melindungi negara ini. Semua aset dan harta negeri ini adalah milik rakyat," kata Nahid Islam, seorang daripada penyelaras. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!