Mampukah Jijoe tamatkan ‘sumpahan’ emas Olimpik?

LIDAH PENGARANG

Azizulhasni kekal menjadi sandaran utama negara untuk membutirkan pingat emas pertama pada temasya Olimpik di Paris kali ini.
Azizulhasni kekal menjadi sandaran utama negara untuk membutirkan pingat emas pertama pada temasya Olimpik di Paris kali ini.
A
A
A

KEGAGALAN Lee Zii Jia, Pearly Tan-M Thinaah dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke pentas akhir badminton di Arena Porte de La Chapelle telah menyekat pemburuan pingat emas pertama Malaysia di temasya Sukan Olimpik.

Kini, sandaran emas terletak di bahu jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang hanya akan memulakan saingannya dalam acara pecut di Velodrom de Saint-Quentin-en-Yvelines pada Rabu.

Namun, persoalannya adakah The Pocket Rocketman mampu memecahkan ‘sumpahan’ emas pada penampilan kelimanya di pentas Olimpik?

Azizulhasni atau mesra disapa Jijoe sebelum ini tanpa berselindung tekad menghadiahkan emas sulung di Olimpik Paris 2024.

Juara dunia keirin 2017 berusia 36 tahun itu menegaskan dia akan bersara dengan tenang sekiranya berjaya merangkul pingat emas.

Sebelum ini, Azizulhasni dan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei hampir merealisasikan emas pertama negara di Olimpik.

Chong Wei telah tiga kali mara ke perlawanan akhir Olimpik (Beijing 2008, London 2012, dan Rio 2016), namun terpaksa akur dengan kekalahan di tangan jaguh China, Lin Dan dan Chen Long.

Sementara Azizulhasni pula memenangi perak di Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, Malaysia telah menyertai Sukan Olimpik sejak tahun 1956 dan dalam setiap temasya yang disertai, atlet-atlet negara telah menunjukkan semangat dan keazaman yang tinggi, namun ‘sumpahan’ emas masih menjadi penghalang terbesar bagi Malaysia untuk mencatatkan nama di pentas tertinggi sukan dunia itu.

Kejayaan pertama Malaysia di Olimpik muncul pada 1992 di Barcelona, apabila beregu lelaki badminton, Razif Sidek dan Jalani Sidek, berjaya memenangi pingat gangsa.

Ia merupakan satu pencapaian besar dan menandakan permulaan era baharu untuk sukan tanah air di pentas antarabangsa.

Apa pun, ‘sumpahan’ emas yang membayangi kontinjen Malaysia di pentas Olimpik merupakan satu cabaran yang terus membakar semangat atlet dan rakyat Malaysia.

Meskipun pingat emas masih belum dapat diraih, kejayaan yang telah dicapai di temasya Olimpik tetap memberikan inspirasi dan kebanggaan kepada negara.

Dengan usaha berterusan dan sokongan padu rakyat, harapan untuk melihat Jalur Gemilang berkibar megah dengan pingat emas di Olimpik mungkin akan menjadi kenyataan di Paris menerusi Azizulhasni.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!