Konflik Timur Tengah bakal tercetus?
BEIRUT - [DIKEMAS KINI] Ketegangan di Timur Tengah kian meningkat ketika Iran dan sekutunya bersiap sedia melakukan tindak balas susulan pembunuhan pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh, pada 31 Julai.
Amerika Syarikat (AS), yang juga sekutu Israel, berkata mereka akan menggerakkan kapal perang dan jet pejuang ke rantau itu sementara beberapa negara Barat menggesa rakyat mereka supaya meninggalkan Lubnan, yang juga pangkalan bagi gerakan Hizbullah disokong Iran.
Sementara itu, beberapa syarikat penerbangan juga telah membatalkan penerbangan.
Ketegangan di rantau itu kian memuncak selepas pembunuhan Haniyeh sehari selepas serangan Israel di Beirut membunuh komander tertinggi Hizbullah, Fuad Shukr.
Hamas dan Iran menuduh Israel bertanggungjawab bagi pembunuhan Ismail dan mengancam bertindak balas.
Namun, Israel tidak menafikan atau mengakui mereka bertanggungjawab bagi kematian pemimpin Hamas itu.
Pada 3 Ogos, satu serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah melindungi penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Bandar Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 15 rakyat Palestin.
Tentera Israel mendakwa sekolah itu digunakan sebagai pusat arahan bagi Hamas menyembunyikan pejuangnya dan menghasilkan senjata.
Hamas bagaimanapun menafikan mereka beroperasi dari kemudahan awam seperti sekolah dan hospital.
Menurut Hamas, serangan di sekolah itu berlaku beberapa jam selepas dua serangan di Tebing Barat, yang diduduki Israel, membunuh sembilan pejuang termasuk seorang komander Hamas.
Serangan udara pertama di Tebing Barat terkena sebuah kenderaan di sebuah bandar berhampiran bandar Tulkarm, yang menurut tentera Israel, telah menyasar kumpulan pejuang yang sedang dalam perjalanan untuk melakukan serangan.
Beberapa jam kemudian, serangan udara kedua di kawasan tersebut menyasarkan satu lagi kumpulan pejuang yang telah menembak askar, apa yang disifatkan tentera Israel sebagai operasi memerangi pengganas di Tulkarm.
Hamas berkata salah seorang daripada mereka yang terbunuh adalah komander briged Tulkarm, manakala Jihad Islam mendakwa empat lelaki lain yang maut dalam serangan tersebut merupakan anggotanya.
Menurut sumber pihak berkuasa lapangan terbang Mesir, pada 3 Ogos, sebuah delegasi peringkat tinggi Israel telah mengadakan lawatan singkat ke Kaherah, Mesir dalam usaha untuk menyambung semula rundingan gencatan senjata Gaza.
Menurut media Iran, Menteri Ehwal Luar Jordan, Ayman Safadi, telah melawat Iran pada 4 Ogos untuk membincangkan perkembangan serantau dengan rakan sejawatannya.
Dengan kebimbangan perang Israel terhadap pejuang Hamas di Gaza boleh merebak menjadi konflik Timur Tengah yang lebih meluas, Presiden AS, Joe Biden, berkata beliau berharap Iran akan berundur daripada sebarang serangan.
“Saya harap begitu. Saya tidak tahu bila Iran akan melancarkan serangan atau berundur,” kata Biden kepada media pada 3 Ogos apabila ditanya sama ada Iran akan berundur. – Agensi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!