Biarlah digelar 'terpaling Palestin'

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

BERITA kematian pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh yang terbunuh selepas Israel menyerang kediamannya di Teheran awal pagi Rabu lalu merenggut hati umat Islam seluruh dunia yang mendukung perjuangan panglima syahid itu untuk membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman penjajah.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, kekejaman dan kezaliman rejim Zionis lebih menyerlah selepas turut melakukan serangan udara menyasarkan wartawan Al Jazeera, Ismail al-Ghoul dan jurukamera Rami al-Rifi di Gaza pada hari yang sama.

Lebih menyayat hati, Allahyarham Ismail dan Rami terkorban ketika membuat liputan dari kediaman Haniyeh di kem pelarian al-Shati, berikutan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas itu bersama seorang pegawai peribadinya.

Penulis meneliti laporan mengenai tragedi itu di mana sebelum kejadian, dron tentera Israel dikesan menyasarkan Al-Ghoul dan jurukameranya, keadaan itu memaksa mereka berpindah sebelum satu lagi dron dilepaskan yang menyasarkan secara langsung kenderaan dinaiki mereka ketika mereka meninggalkan kawasan itu.

Bom yang dilepaskan telah meragut nyawa mereka dengan begitu dahsyat di mana hentaman yang begitu kuat itu menyebabkan kenderaan dinaiki mereka hancur termasuk kepala Allahyarham tercerai daripada badannya yang mulia.

Sepanjang hampir 10 bulan mengikuti perkembangan peperangan ini, kisah tragis pembunuhan Al-Ghould antara yang terkesan di hati penulis di samping puluhan ribu nyawa rakyat Palestin lain yang syahid.

Sebelum ini, penulis turut terkesan dengan pembunuhan anak Ketua Biro Al-Jazeera di Gaza, Wael Al-Dahdouh iaitu Hamza Al-Dahdouh pada Januari lalu.

Serangan sama iaitu melalui udara yang menyasarkan kenderaan dinaiki Allahyarham bersama anggota kru Al Jazeera, Mustafa Thuraya mengakibatkan kedua-duanya terbunuh selain seorang lagi wartawan, Hazem Rajab cedera parah.

Artikel Berkaitan:

Penyeksaan dan kezaliman terhadap petugas media sejak hampir 10 bulan lalu merupakan jenayah kejam yang secara jelas menunjukkan Israel terus berusaha untuk menutup jenayah kemanusiaan dahsyat yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

Berdasarkan laporan Pejabat Media Kerajaan Gaza, sehingga kini jumlah wartawan Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel di semenanjung itu mencecah 165 orang sejak 7 Oktober 2023.

Selain itu, angka kematian rakyat Palestin akibat serangan tersebut melebihi 39,000 orang serta lebih 91,000 individu mengalami kecederaan di mana majoritinya wanita dan kanak-kanak.

Saban hari tidak boleh tidak, penulis akan berkongsi sekurang-kurangnya satu hantaran mengenai isu Palestin walaupun pernah juga ‘diperli’ rakan satu lapangan kerja yang bimbang emosi penulis terkesan dengan video dan gambar-gambar ngeri dan tragis yang dikongsikan.

Jauh di sudut hati penulis, tidak cukup lagikah kekejaman yang dilakukan terhadap saudara seagama kita, tidak cukupkah kezaliman terhadap rakan media di sana yang ‘disenyapkan’ sehingga kita di sini pun tidak mengendahkan apa yang berlaku.

Memperkukuh solidariti dan sokongan kepada rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis Israel dilakukan mengikut kemampuan kita dan setiap perkongsian di media sosial walaupun sekecil-kecil perkongsian mampu memberi tekanan hebat terhadap mereka.

Kalau dulu, kezaliman itu mudah untuk disenyapkan, kini dengan kehebatan kuasa media sosial memecahkan monopoli media antarabangsa yang sebelum ini menjulang tinggi propaganda Zionis Yahudi.

Penulis turut merakam penghargaan atas usaha kerajaan Malaysia menganjurkan himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil bagi menunjukkan solidariti serta sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin.

Bagi penulis, perjuangan membebaskan kota suci umat Islam ini tidak akan terhenti, berjuang dengan apa adanya, berjuang dengan cara kita mengikut kemampuan, biarlah digelar 'terpaling Palestin', daripada diam berpeluk tubuh tidak berbuat apa-apa.

* Norhaspida Yatim ialah wartawan Sinar Harian Terengganu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!