Kalau pasal sukan, rakyat Malaysia macam adik-beradik
MERAK JALANAN
MALAM kelmarin Merak Jalanan singgah minum sebentar di sebuah kedai mamak di Lembah Klang.
Suasananya cukup tenang disulami asap rokok yang dihembus beberapa pelanggan di meja bersebelahan, biar pun papan tanda dilarang merokok jelas terpampang.
Merak Jalanan mengandaikan mereka sekelompok umat manusia malang kerana tidak mengenal huruf dan tidak pandai membaca.
Apa pun, tidak sampai 15 minit berada di situ, meja-meja kosong mula dipenuhi pelanggan, kata rakan Merak Jalanan, mungkin tauke restoran guna pelaris.
Rupa-rupanya mereka singgah menonton perlawanan penentuan pingat gangsa Sukan Olimpik antara beregu negara, Aaron Chia-Soh wooi Yik menentang wakil Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Atmosfera kedai mamak yang sendu bertukar menjadi stadium mini dengan sorakan kuat didengari dari setiap sudut.
Malah, sorakan semakin kuat terutama di penghujung set kedua apabila pelanggan berbangsa Melayu, Cina dan India semuanya melaungkan Malaysia boleh secara serentak.
Situasi sama turut belaku ketika perlawanan suku akhir beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah.
Biar pun berlainan bangsa, namun apabila sama-sama berada di atas gelanggang, kedua-duanya memberikan aksi terbaik demi lencana di dada.
Pearly Tan dalam temu bual selepas perlawanan tersebut mengakui, pemain Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri kerana pihak lawan gagal mengorek rahsia mereka sewaktu permainan sedang berlangsung kerana berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan.
Testimoni daripada Pearly itu meyakinkan lagi Merak Jalanan bahawa sukan sememangnya antara elemen penting untuk menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia.
Seperti kata rakan Merak Jalanan, politik tolak tepi...bab sukan rakyat Malaysia macam adik-beradik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!