Boleh wujudkan aplikasi media sosial sendiri - Pakar
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan mampu membangunkan aplikasi media sosial khusus kepada rakyat Malaysia sekiranya melakukan perancangan, pelaksanaan dan penambahbaikan secara berterusan dengan teliti.
Pakar teknologi, Dr Muhidin Ariffin berkata, sekiranya tumpuan dan sokongan penuh diberikan oleh kerajaan, ia dapat meningkatkan peluang untuk menarik serta mengekalkan pengguna.
“Sokongan padu daripada kerajaan pasti membantu dari segi promosi, insentif pengguna serta infrastruktur.
“Platform tersebut mesti menawarkan ciri dan kandungan yang membezakannya daripada media sosial sedia ada serta mempunyai privasi bagi memastikan keselamatan platform pengguna terjamin,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Ahad, kerajaan memaklumkan akan meneliti cadangan mewujudkan aplikasi media sosial khusus untuk kegunaan rakyat Malaysia seperti yang sedang diusahakan oleh beberapa negara.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, hal ini kerana ada antara penyedia aplikasi media sosial didapati mengaut keuntungan daripada rakyat di negara ini, namun dalam masa sama gagal menjamin soal keselamatan penggunanya.
Bagaimanapun, Muhidin yang juga Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) berkata, Malaysia perlu mempertimbangkan beberapa isu atau cabaran yang mungkin berlaku dalam proses mewujudkan media sosial khusus berkenaan.
“Platform tersebut akan bersaing dengan aplikasi global yang mantap atau mungkin mempunyai kelebihan ketara dari segi pangkalan pengguna, ciri serta sumber.
“Penglibatan kerajaan juga mungkin boleh menimbulkan kebimbangan mengenai penapisan dan kebebasan bersuara.
“Pertimbangkan dengan teliti isu dan laksanakan strategi dengan baik, pastinya Malaysia boleh meningkatkan peluang untuk melancarkan serta mengembangkan platform khusus ini,” katanya.
Dalam pada itu, cadangan kerajaan untuk membina aplikasi media sosial sendiri mendapat bantahan awal daripada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa duit pembayar cukai bakal ‘hangus’ lagi.
“Malaysia telah mempunyai ratusan aplikasi kementerian atau agensi yang bertindih dan pada akhirnya tidak berfungsi.
“Kini kerajaan nak bina aplikasi media sosial pula. Guna duit siapa? Ratusan juta duit pembayar cukai.
“Duit pembayar cukai bakal hangus lagi. Duit anda akan menyumbang kepada ketidakcerdikan mereka,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial X pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!