Bantu rakyat Palestin terus kelangsungan hidup
SHAH ALAM - Rakyat Malaysia yang sebelum ini terperangkap di Gaza, Nurul Ain Haron, 37, menyokong sepenuhnya langkah kerajaan membawa keluar sebahagian wanita dan kanak-kanak di Palestin yang cedera serta sakit untuk dirawat.
Nurul Ain berkata, usaha berkenaan dapat membantu lebih 10,000 rakyat Palestin yang memerlukan pelbagai bantuan termasuk rawatan perubatan bagi kelangsungan hidup mereka.
“Insya-ALLAH saya sokong sepenuhnya seandainya peluang itu dibuka. Seperti yang kita semua tahu lebih 10,000 orang cedera di Gaza sedang menanti masa untuk dipindahkan bagi mendapatkan rawatan di luar negara, ada juga yang sedang bertarung nyawa hanya tunggu masa untuk syahid,” katanya.
Namun katanya, sudah lebih 90 hari sempadan Rafah ditutup sepenuhnya dan tiada pergerakan keluar masuk dibenarkan sehingga ke hari ini.
“Anak buah suami saya juga perlu menjalani pembedahan jantung di Baitulmaqdis sehingga kini tidak mendapat kebenaran untuk keluar ke sana,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedia membawa pulang sebahagian wanita dan kanak-kanak di Palestin yang cedera atau sakit untuk mendapatkan rawatan di negara ini.
Menurut Anwar pihaknya sudah berurusan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi agar membenarkan perkara tersebut dilaksanakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!